Perkembangan yang semakin positif untuk industri ini.

​Untuk mencipta sang juara dunia, mereka perlu dibentuk dari akar umbi. Begitu jugalah sekiranya kita ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani dalam arena esport dunia.

Kementerian Pendidikan kini sedang mempertimbangkan untuk jadikan esport sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran atau kokurikulum sekolah, kata Timbalan Menterinya, Datuk P. Kamalanathan kepada Astro Awani, menurut laporan Malaysiakini.

Beliau berkata perbincangan mendalam akan dilakukan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi melihat perkara itu secara menyeluruh.

“Saya dimaklumkan KBS sedang merancang dan menyediakan modul yang akan dibawa kepada kementerian kami. Kementerian Pendidikan terbuka untuk sebarang cadangan.”

“Pada pandangan saya, sukatan pelajaran perlu menjadi sesuatu yang boleh diubah dan ditambahbaik mengikut perubahan masa,” katanya lagi.

Kamalanathan mendedahkan perkara ini ketika ditanya mengenai pengenalan subjek esport pertama di SMA 1 PKSD, Jakarta, Indonesia, yang pernah kami laporkan sebelum ini.

Sementara itu, Kamalanathan berkata beliau juga menggalakkan mana-mana sekolah yang mahu mewujudkan kelab esport tersendiri namun memahami kekangan dihadapi mereka seperti masalah kewangan.

“Sekiranya ada ruang, mereka boleh memperkenalkan dan mempromosikan e-sukan tapi tertakluk dengan apa yang ada buat masa ini,” ujarnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telahpun mengiktiraf esport sebagai salah sebuah industri baru negara.

Lima atlet esport pertama tanah air yang menerima Jalur Gemilang di MSN, Bukit Jalil.

Sekiranya korang tidak tahu, KBS telahpun mewujudkan unit esport di bawah Majlis Sukan Negara, khas untuk membuat persiapan atlet esport negara bagi menghadapi Sukan Asia 2022 dan Sukan Olimpik 2024.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.