Ini video game, bukan dokumentari sejarah lah!

Battlefield V sudah dua hari diperkenalkan secara umum dalam satu acara khas pada awal pagi Khamis lalu. Semestinya ia mendapat pelbagai reaksi daripada komuniti Battlefield — ada yang positif, ada yang negatif.

Namun, ada satu rungutan ini, mereka marah kerana terdapat terlalu banyak pilihan untuk mengubahsuai karakter, termasuk memilih jantina. Membawakan wanita dalam Perang Dunia Kedua adalah “tidak menepati ketepatan sejarah”, kata mereka. Lebih-lebih lagi, mereka ini benar-benar ‘sakit punggung’ apabila melihat wanita menjadi fokus utama dalam trailer yang dikeluarkan serta menjadi muka hadapan untuk artwork game ini.

Pastinya, rungutan-rungutan ini sampai ke telinga pembangun DICE. Dan pengurus besar DICE, Oskar Gabrielson telah tampil ke hadapan untuk memberikan apakah rancangan dan pendirian DICE terhadap isu ini.

“Pertama sekali, biar saya jelaskan satu perkara di sini,” kata Gabrielson dalam tweet berantai yang dikeluarkan. “Pilihan pemain dan karakter wanita yang boleh dimainkan akan tetap kekal.”

Beliau menjelaskan yang mereka mahu Battlefield V untuk mewakili semua yang terlibat dalam drama terhebat dalam sejarah manusia dan berikan pemain untuk memilih dan mengubahsuai karakter yang mereka mainkan.

Kata beliau lagi bahawa komitmen studio mereka adalah untuk memberikan segalanya yang mereka mampu untuk mencipta game yang inklusif dan mempunyai kepelbagaian. Mereka sentiasa menolak pelbagai sempadan dan menyampaikan pengalaman yang tidak dijangka. Tetapi, yang paling penting, kata beliau, game mestilah menyeronokkan.

“Sandbox Battlefield telah sentiasa tentang bermain dengan cara yang kamu inginkan. Seperti cuba untuk memuatkan tiga pemain di atas kuda yang sedang bergerak, bersama-sama dengan flamethrowers. Melalui BFV kamu juga akan berpeluang untuk bermain seperti mana yang kamu mahukan. Ini adalah #everyonesbattlefield.”

Pada pandangan kami, tak usahlah kita melayan rungutan-rungutan yang merepek ini. Tiada video game yang benar-benar menepati fakta sejarah (sekiranya benar wanita tidak terlibat langsung dalam WW2). Video game telah dan akan sentiasa menjadi platform untuk kita berhibur, bukan untuk belajar sejarah secara serius.

Battlefield V akan diperlihatkan lebih lanjut pada acara EA Play 2018 yang akan berlangsung dari 9 hingga 11 Jun ini.

Battlefield V akan dilancarkan di PC, PS4 dan Xbox One pada 19 Oktober nanti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.