Semalam seorang pelanggan Gamers Hideout, Holy Chit telah menceritakan kesedihan beliau dilayan sebagai penjenayah tanpa bukti kukuh di Gamers Hideout, 1 Utama Shopping Centre.

Kami telah berhubung terus dengan Holy Chit (bukan nama sebenar) dan Gamers Hideout bagi mendapatkan kepastian sebelum menulis artikel ini. Hari ini, cubaan kami menghubungi Holy Chit menemui jalan buntu apabila kami dapati akaunnya disekat. Jeng jeng jeng. Misteri sungguh. Tetapi kami berjaya mendapatkan screenshot daripada Sze Xian di Facebook.

KEMASKINI (4.40pm, 20/3/2017): Post tersebut masih boleh ditemui di arkib archive.is.

Gamers Hideout pula masih membisu. Kami cuba berhubung terus dengan pemilik Gamers Hideout yang juga Pengurus yang menuduh Holy Chit di dalam post tersebut. Juga tiada jawapan.

Jadi apa yang kita tahu setakat ini? Berikut adalah kronologi kejadian menurut post Holy Chit.

  1. Holy Chit (HC) dan 4 orang kawan-kawanya pergi ke Gamers Hideout (GH) untuk membeli PlayStation 4.
  2. Pengurus kedai GH menuduh HC mencuri “CD game” berdasarkan rakaman CCTV, lalu memanggil polis.
  3. HC dan kawan-kawan melihat rakaman CCTV tersebut – ianya bukan HC. Video CCTV tersebut bertarikh 22 Feb 2017 – HC pula bersama teman wanitanya di Setapak berdasarkan tarikh di chat history.
  4. Kad pengenalan dikutip dan mereka berlima disoalsiasat selama sejam oleh polis di sudut kedai yang terbuka.
  5. Apabila kakitangan GH ditanya polis, siapa yang mencuri – kakitangan tersebut menuding ke kawan HC pula.
  6. “Pencuri” tersebut ada membeli sesuatu pada tarikh tersebut – HC memberikan kad keahlian GH untuk disemak. Ternyata bukan kad beliau. “Pencuri” tersebut menggunakan kad keahlian kawannya dengan nama yang hampir sama.
  7. Polis mahu GH membuat laporan di balai. Pengurus GH tidak mahu melepaskan kakitangan kerana “kekurangan kakitangan” dan “ramai pelanggan”. Beliau menghantar supervisor untuk membuat laporan.
  8. Supervisor GH mengeluarkan rakaman CCTV dan gambar. Sarjan yang mencatat laporan berkata “pencuri” di dalam gambar tidak menyerupai HC dan kawan-kawannya.

KEMASKINI (4.20pm, 20/3/2017): Gambar resit dari poin 6 telah dikongsikan oleh Holy Chit. Kesilapan ejaan pada nama Muhammad / MOHD menjadi sebab utama “bukti” ini ditolak oleh Holy Chit.

Ternyata post Holy Chit ini mendapat simpati daripada para gamers serata Malaysia dan juga dari luar negara. Ruang komen dan laman Facebook Gamers Hideout 1 Utama dibanjiri “review” dan “testimonial” yang bernada sinis, berang dan juga amaran terhadap bakal pelanggan Games Hideout.

Kami masih menantikan maklumbalas daripada Gamers Hideout berkenaan isu ini bagi mendapatkan alkisah daripada pihak mereka. Sekiranya terdapat maklumat tambahan, artikel ini akan dikemaskini.

Gambar utama hanya hiasan. Sumber: Facebook Gamers Hideout