Hellblade: Senua’s Sacrifice merupakan sebuah game terbaru yang dibangunkan dan diterbitkan oleh Ninja Theory, developer yang terkenal dengan game-game seperti Heavenly Sword, Enslaved: Odyssey to the West dan DmC: Devil May Cry. 

Mampukah game yang dikatakan developer sebagai ‘independent AAA’ ini menambat hati penulis? Jom kita baca review Hellblade: Senua’s Sacrifice – Boleh Beli or boleh Blah!?

Pengenalan

Penulis bukanlah seorang yang begitu arif dalam banyak genre game. Penulis biasanya berkisar dalam genre game bola sepak dan shooter, selain sering bermain game-game action-adventure AAA, sebagai contoh siri Uncharted dan Grand Theft Auto. 

Tidak banyak game-game yang diluar genre-genre yang biasa penulis mainkan yang mampu menarik minat. Sepanjang penulis bermain video game, hanya ada dua game sahaja yang mana ia telah mengubah perspektif penulis tentang bagaimana sesebuah video game mampu memberi kesan kepada para pemain, terutamanya diri penulis sendiri. Yang pertama adalah Life is Strange dan yang kedua dan yang terbaru, Hellblade: Senua’s Sacrifice.

Apa yang menyebabkan game ini sungguh memberikan kesan mendalam kepada penulis?

Game Ini Tentang Apa?

Game ini berkisar tentang seorang gadis muda bernama Senua yang dalam pengembaraannya untuk pergi ke alam lain yang penuh dengan kegelapan dan kejahatan. Hellblade: Senua’s Sacrifice diletakkan pada latar belakang sekitar tahun 790 masihi di Scotland, yang mana pada masa itu, agama Kristian masih belum sampai ke kawasan itu. Selepas Vikings tiba di Orkney, populasi puak Celtic telah hilang begitu sahaja, dan semua tidak tahu mengapa. Dari sinilah kisah game ini mula bercerita dan mulalah Senua melawan pelbagai musuh-musuh dari mitologi Norse.

Perkara pertama yang menarik minat penulis untuk memainkan game ini adalah bagaimana mereka mencipta sebuah cerita dengan menggunakan sebuah penemuan di dunia sebenar baru-baru ini di England. Sebuah batu telah dijumpai dengan hanya tertulis “kepada dewi Senua, kami telah menunaikan sumpah kami.” Siapa Senua? Siapa yang menunaikan itu? Apakah sumpah itu? Semuanya menjadi mister sehingga kini. Dan dari sini, Ninja Theory ciptakan kisah Senua dalam game ini.

Bermain dan menghabiskan game ini masih tidak cukup untuk mengenali sepenuhnya tentang Senua. Pemain perlu melakukan pembacaan lanjut tentang game ini melalui sumber luar, antaranya korang boleh membaca setiap kisah alat dan pakaian yang dimiliki Senua di Game Informer.

Apa yang membuatkan game ini berbeza dengan game-game lain? Senua mengalami sejenis kondisi mental, iaitu Psikosis. Psikosis merupakan masalah mental serius yang mempunyai simptom seperti kemunculan delusi dan halusinasi. Seseorang yang mengalami Psikosis akan memandang dunia nyata secara tidak normal – sukar membezakan adakah apa yang dialaminya sekarang adalah realiti ataupun hanya ilusi permainan minda.

Itulah yang membuatkan game ini begitu unik. Ia membawa para pemain untuk menyelami, mendalami dan merasai sendiri bagaimanakah perasaan dan pengalamannya menjadi seorang yang mengalami Psikosis. Dan bagaimana Ninja Theory, developer game ini, menyampaikan seorang yang mengalami Psikosis ke dalam game ini adalah sangat mengagumkan.

Psikosis Yang Menghantui Pemain

Bagaimana penulis katakan bahawa game ini akan membawa pemain berada di kedudukan seorang yang mengalami Psikosis? Jom penulis terangkan.

Naratif dan bagaimana game ini menyampaikan sesuatu dialog sangat memberikan kesan kepada penulis. Bisikan-bisikan yang datang daripada pelbagai suara adalah sangat banyak. Dalam hati Senua sendiri mempunyai beberapa suara yang berbeza pendapat antara satu sama lain. Apabila Senua ingin melakukan sesuatu, satu suara akan membisikkan jangan lakukannya, dan datang pula ‘satu lagi Senua’ membisikkan untuk terus lakukannya.

Itu belum dikira perbualan yang ada antara watak-watak lain seperti ibunya, bapanya, Dillion (bekas kekasih Senua) dan lain-lain watak. Bisikan-bisikan ini akan membuatkan para pemain resah gelisah, menaikkan bulu roma dan semestinya merasai bagaimana untuk menjadi seorang yang mengalami Psikosis.

Mainan Audio Seram Lagi Sempurna

Nak merasai lebih mendalam tentang kondisi Psikosis ini? Gunakan headset dan jangan gunakan speaker melalui TV/monitor. Bermain game ini tanpa menggunakan headset adalah seperti sia-sia sahaja.

Melalui penggunaan headset lah pemain akan mendengar bisikan-bisikan ini dengan lebih halus dan teliti. Game ini menggunakan kedua-dua belah telinga kita dengan cukup baik apabila sesetengah situasi, satu bisikan akan berada di sebelah telinga kiri, dan satu lagi bisikan dilontarkan dari telinga kanan. Kita pula yang akan secara spontannya menoleh ke kiri dan menoleh ke kanan seolah-olah suara itu betul-betul berada di sebelah kita.

Itu baru cerita tentang bagaimana ia dipersembahkan melalui audio. Dari segi grafik pula ia sememangnya membuatkan kita turut berpusing dalam dunia ilusi Psikosis ini. Skrin akan berputar-putar dengan gambaran yang samar-samar, kita akan melompat dari satu alam ke alam yang lain, terdapat kebakaran, hujan, ribut dan lain-lain. Memang macam-macam.

Combat Yang Cukup Memuaskan

Hellblade: Senua’s Sacrifice dikategorikan sebagai sebuah game bergenre action-adventure dan hack-n-slash. Namun, bagi penulis, game ini bukanlah sebuah game yang fokus kepada hack-n-slash kerana ia bukanlah apa yang sebenarnya game ini cuba sampaikan. Dalam erti kata lain, genre hack-n-slash itu hanya gameplay sampingan kepada teras utama game ini, iaitu penyampaian kisah seorang yang mengalami Psikosis dalam pengembaraannya untuk membalas dendam.

Walau bagaimanapun, penulis tidak menafikan bahawa combat yang ditampilkan ke dalam game ini adalah sangat memuaskan. Combatnya sangat ringkas dan tidak kompleks, tetapi cukup memberikan kepuasan kepada pemain dengan butang, mekanisme dan gerakan-gerakan animasi watak yang sungguh cantik.

Game Yang ‘Bersih’ Dari Sebarang UI

Selain naratif yang memberikan kesan mendalam kepada pemain, cara lain yang developer game ini gunakan untuk membawa para pemain benar-benar masuk ke dalam diri Senua adalah paparan di skrin yang cukup ‘bersih’ dari sebarang user interface (UI).

Dari detik pertama game ini bermula, hinggalah ke saat terakhir game ini, tiada sebarang UI dipaparkan di skrin. Tiada nilai nyawa Senua, tiada nilai nyawa musuh, tiada paparan senjata apa digunakan. Tiada tutorial, tiada apa-apa pengenalan yang panjang lebar. Pemain dibawa terus ke dalam suasana Psikosis dalam diri Senua.

Bercakap tentang tutorial, ia memang benar-benar tidak mengajar pemain apa-apa mekanisme langsung. Dari combat ke puzzle-puzzle seperti lakaran di batu-batu dan portal-portal yang perlu diselesaikan – semuanya pemain perlu pelajari dengan sendiri. Sebab itulah dari video yang korang boleh tonton di atas, penulis mengambil masa yang agak lama untuk mengetahui bagaimana untuk menyelesaikan puzzle yang pertama.

Mungkin satu-satunya klu yang game ini berikan kepada pemain jika masih tidak dapat selesaikan sesuatu adalah dari percakapan dalam diri Senua itu sendiri. Jadi, sesiapa yang tidak peka dengan dialog-dialog yang diucapkan ini, mungkin akan mudah putus asa dan mengatakan game ini merepek.

Beralih ke combat pula, memang ya ia adalah sangat mudah, tetapi itu selepas penulis tahu apakah butang-butang yang perlu ditekan. Untuk menghadapi musuh pertama, game akan meletakkan terus pemain di hadapan musuh tanpa sebarang tutorial. Senua akan terus mengeluarkan pedangnya dan kita seperti terpinga-pinga butang apakah yang perlu ditekan untuk menumpaskan musuh-musuh yang menakutkan ini. Nasiblah boleh pause game dan melihat butang-butang di bahagian Control.

Kematian Kekal Penuh Kontroversi?

Sekiranya korang mengikuti perkembangan game ini, pastinya terdengar tentang satu kontroversi ini yang telah berlegar sejak beberapa hari lalu. Terdapat berita yang mengatakan bahawa apabila kita mati dalam bilangan yang sangat banyak, game ini akan memadamkan save file pemain, dan pemain perlu bermain dari mula semula.

Dan laporan yang terbaru menyatakan pula bahawa amaran kematian kekal (permadeath) yang diletakkan di awal game ini adalah bohong semata-mata. Ia mungkin hanya untuk menakut-nakutkan para pemain agar pemain boleh menghayati game ini dengan lebih mendalam.

Penulis juga boleh sahkan perkara ini. Mendengarkan tentang permadeath ini telah membuatkan penulis cemas. Menambahkan cemas lagi apabila kita tidak diberitahu berapakah bilangan mati yang akan membawa kepada pemadaman save file ini. Perkara ini membuatkan setiap kali penulis gagal melawan musuh ini (ya memang dah banyak mati), penulis akan berdebar menantikan sama ada perjalanan game ini boleh diteruskan ataupun tidak. Nasib baik, penulis berjaya menghabiskan game ini walaupun telah mati banyak kali.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Hellblade: Senua’s Sacrifice benar-benar telah mengubah pandangan penulis tentang bagaimana sesebuah game boleh memberi kesan kepada para gamers. Ia telah meletakkan satu titik penanda aras bagaimana sesebuah video game mampu membantu dalam sesuatu perkara, dan dalam situasi game ini, ia telah menyajikan kepada kita untuk merasai secebis perasaan dan pengalaman mereka yang mengalami sakit mental, Psikosis. Game ini sememangnya adalah BOLEH BELI sekiranya korang ingin merasai sebuah pengalaman yang bukan mudah untuk digambarkan.

Sukar untuk mencari kelemahan dalan game ini. Ia seperti sebuah game yang sempurna dalam caranya yang tersendiri. Mungkin bagi mereka yang mempunyai ‘lemah semangat’ atau tidak selesa menghadapi situasi-situasi seperti mayat-mayat tergantung dan bergelimpangan, bisikan-bisikan yang seram, persekitaran yang sunyi dan suram, permainan mata dan ilusi yang berat – ia adalah game yang BOLEH BLAH untuk korang.

+ Mengubah perspektif kita tentang video game
+ Mendalami pengalaman seorang yang mengalami kondisi Psikosis
+ Penyampaian naratif mengagumkan
+ Combat yang memuaskan
+ Skrin yang ‘bersih’ dari UI

Bohong tentang kematian kekal
Tidak sesuai untuk mereka yang ‘lemah semangat’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.