Kejohanan dunia terbesar siri game FIFA untuk tahun ini telahpun menutup tirainya semalam, dan juara baru kini kembali ke England.

Spencer “Gorilla” Ealing.

Spencer “Gorilla” Ealing dari England telah dinobatkan sebagai juara FIFA Interactive World Cup (FIWC) 2017 di London semalam. Gorilla menjadi pemain England pertama menjuarai kejohanan berprestij ini selepas kali terakhir wakil negara itu memenangi pada tahun 2005.

Gorilla mengesahkan kejuaraannya selepas menewaskan wakil dari Jerman, Kai “Deto” Wollin dengan keputusan 7-3 selepas bermain dua perlawanan timbal balik dalam perlawanan akhir.

Gorilla yang lebih dikenali sebagai juara divisi Xbox, telah terikat 3-3 dalam perlawanan pertama yang mana ia dimainkan di PS4. Kemudian, dalam perlawanan timbal balik kedua, yang kembali bermain di konsol yang beliau selesa, iaitu Xbox One, Gorilla telah membelasah Deto dengan jaringan mudah 4-0.

Kemenangan ini seterusnya membuatkan Gorilla membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak USD200,00 (~RM859,040).

Deto di tempat kedua membawa pulang USD40,000 (~RM171,808), manakala pemenang tempat ketiga bersama, CodyDerFinisher dan TimoX masing-masing membawa pulang USD5,000 (~RM21,476).

“Membawa tiga gol di tempat lawan ke dalam konsol yang saya lebih selesa adalah lonjakan semangat untuk saya,” kata Gorilla selepas perlawanan itu. “Saya fikir itulah yang membuatkan saya memenangi perlawanan ini.”

Semasa penyampaian hadiah, Gorilla telah memberikan trofi kepada jurulatihnya, Sean “Dragon” Allen. Dragon merupakan naib juara dalam kejohanan ini pada edisi tahun lalu.

Comments

comments