Kratos kembali mengganas – mampukah dia menggegarkan hati kita kembali?

Setelah mengeluarkan 8 siri God of War – termasuk siri utama dan penyambung cerita antara satu dengan yang lain (tidak termasuk versi remastered) – dari tahun 2005 hingga ke 2013, Kratos kembali dengan sebuah nafas baru.

Selepas mengganas, menggoncang dan memusnahkan segala dewa yang ada dalam mitos Greek, Kratos telah membawa diri ke mitos Norse.

Apakah kisahnya tentang Kratos yang kini berada di negara-negara Eropah Utara? Apakah dia akan menghuru-harakan kawasan itu pula?

Jom kita ikuti review God of War: Boleh Beli or Boleh Blah!?

JomBaca: Rasmi: God of War Akan Keluar Pada 20 April Ini, Story Trailer Terbaru Akan Buat Korang Menangis

Reboot Atau Sekuel?

Sejak pertama kali God of War (2018) diumumkan serta menonton daripada trailer-trailer yang dikeluarkan setakat ini, pasti ramai daripada korang yang tertanya-tanya – apakah game ini adalah reboot ataupun sekuel?

Secara asasnya, game ini sememangnya adalah sekuel kepada siri-siri God of War sebelum ini. Ia mengisahkan Kratos yang kini mempunyai anak lelaki bernama Atreus.

Game ini juga boleh dikatakan sebuah ‘soft reboot’ dari beberapa aspek seperti gameplay, progression karakter, pandangan kamera dan mungkin juga reboot untuk latar belakang yang digunakan, yang mana kali ini Santa Monica membawa Kratos ke mitos Norse.

Semua aspek ini akan penulis terangkan dengan lebih mendalam sehingga ke akhir review ini.

JomBaca: 10 Benda Korang Patut Tahu Tentang God of War Terbaru!

Hubungan Bapa & Anak

Pihak Sony baru-baru ini ada menyatakan bahawa bermain God of War terbaru ini akan membuat para pemain menjadi seorang bapa yang lebih baik. Penulis sememangnya bersetuju dengan klaim ini.

Hubungan antara Kratos dan anaknya, Atreus, adalah sangat istimewa. Ramai yang apabila game ini diperlihatkan buat kali pertama, mereka mengatakan hubungan antara Kratos dan Atreus hanyalah seperti hubungan dalam sebuah  lagi game eksklusif Sony, iaitu Joel dan Ellie dalam The Last of Us. Bagi penulis, ia tidak adil untuk membandingkan dua hubungan dari dua game berbeza ini.

Hubungan Kratos dan Atreus mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Kratos ingin memulakan hidup baru selepas apa yang telah dia lalui di kampung halamannya di Greek. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu Atreus tahu apakah identiti sebenarnya agar secara tidak langsung Kratos boleh melupakan segala kisah pahit hitam yang ditempuhnya dahulu.

Game ini dimulakan terus dengan Kratos dan Atreus berada di hutan untuk menebang pokok, dan menggunakan kayu-kayu itu bagi membakar mayat ibu Atreus/isteri Kratos. Bagaimana dan mengapa wanita ini mati, tidak diceritakan.

Selepas mayatnya selamat dibakar, kedua-dua anak beranak ini ingin melunaskan wasiat terakhir wanita tersebut, iaitu untuk semadikan abu mayatnya nun jauh di atas puncak gunung.

Di sinilah perjalanan game ini dimulakan, pengembaraan antara bapa dan anaknya, hubungan yang dahulunya renggang, kini terpaksa menempuh pengembaraan bersama. Bunyinya mudah, iaitu perlu membawa abu mayat dan semadikannya di puncak gunung – namun perjalanan itu bukan mudah seperti yang diperkata – penuh dengan liku dan halangan.

JomBaca:  Game Single-Player Masih Lagi Hebat, Kata Pengarah God of War

Kratos Yang Berbeza

Sepanjang misi mereka membawa abu mayat ini, Kratos bukan sahaja akan melalui proses mengenali anaknya, malah untuk mengenali dengan lebih mendalam terhadap dirinya juga. Ada banyak babak di mana Kratos mengajarkan Atreus pelbagai ilmu-ilmu kehidupan, dan apabila game diteruskan, Kratos mula sedar bahawa dia juga sedang belajar sesuatu daripada anaknya.

Semakin jauh game ini dimainkan, kita akan dapat melihat perubahan yang dialami dalam diri Kratos. Dia pada mulanya akan kelihatan seorang bapa yang ‘noob’, dan kemudiannya menjadi seorang bapa yang lebih penyayang dan prihatin.

Ada satu babak yang secara spesifiknya memberi kesan yang agak mendalam. Pada permulaan game ini, Kratos ada mengajarkan Atreus satu amalan ini, dan menjelang pengakhiran game ini, Kratos pula yang semakin hilang kawalan. Pada ketika itu, Atreus memujuk Kratos dan mengungkapkan kembali pesan ayah tercintanya itu, seperti dipesan kepadanya sebelum ini.

Dalam proses itu, kita akan dapat melihat bagaimana perkembangan watak Kratos dan konfliknya sebagai seorang bapa. Jauh di sudut hatinya, Kratos mahu menjadi seorang bapa yang boleh anaknya harapkan, tetapi dalam masa sama dia sukar untuk membuang sikap lama yang bersifat garang dan bengis.

Kratos yang sekarang bukanlah seperti Kratos yang dahulu. Tiada lagi keputusan-keputusan yang dilakukan secara melulu atau panas baran – lebih matang, sesuai dengan usianya pada ketika ini. Kini dia mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dalam membesarkan dan mendidik Atreus.

Tapi janganlah korang risau. Di sebalik sikap lembutnya terhadap Atreus, beliau masih Kratos yang kita kenali apabila dia terpaksa melakukannya. Dalam situasi tertentu, kita akan dapat melihat Kratos kembali menggegar dan mampu mengalah siapa sahaja musuh yang cuba menghalang kerjanya.

JomBaca: Pengarah God of War Sahkan Tiada Season Pass Diperlukan Untuk God of War Akan Datang

Kisah Yang Penuh Misteri

God of War menampilkan sebuah jalan cerita yang sangat, sangat misteri. Ia bukan sahaja menyampaikan jalan cerita Kratos yang ingin menyorok kisah silamnya daripada Atreus, tetapi keseluruhan kisah dalam game ini adalah sebuah misteri yang besar kepada para pemain. Jangan kata Atreus, kita sebagai pemain pun sering tertanya-tanya apakah sebenarnya yang sedang berlaku.

Bukan ingin meng-spoil-kan jalan ceritanya, tetapi apa yang penulis ingin katakan ialah dari mula game ini dimulakan, sehinggalah penamat, game ini sentiasa diselubungi dengan misteri. Mungkin misteri di awal permainan telah dapat dirungkai, namun penamatnya, menambah sebuah lagi misteri yang jauh lebih besar.

Penamat Yang Tak Bersimpul Mati

Sekali lagi penulis ingin jelaskan, ini bukanlah spoiler. Apa yang telah disajikan di akhir God of War ini sememangnya memberitahu kepada pemain bahawa pihak Santa Monica semestinya sudah merancang sekuelnya, jika tidak telahpun memulakan pembangunan awal.

Game ini pasti ada sekuel. Sesuatu yang penulis ingin sampaikan kepada semua para peminat tegar siri God of War. Ingin bukan sebuah game yang dibuat untuk satu game ini sahaja. Pasti ada sekuel.

Misi utama dalam game ini mungkin dapat dicapai tetapi ia hanyalah satu permulaan. Penamatnya mungkin dapat disimpulkan, tetapi bukan bersimpul mati.

Gabungan Norse & Greek Yang Unik

Naskah hiburan mana yang boleh kita hadam dengan dua mitos digabungkan? Apa yang telah dibawakan ke dalam game ini, menyajikan kepada kita dua mitos dari dua alam yang berlainan – menggabungkan Greek dan Norse dengan unik sekali.

Santa Monica telah memilih mitos Norse untuk dijadikan tema utama God of War pada kali ini. Tetapi mereka semestinya tidak boleh melupakan bahawa Kratos ini berasal (dan telah menghancur-leburkan) Greek.

Inilah keunikan yang telah ditampilkan ke dalam game ini, yang mana ia menggabungkan dua mitos yang cukup popular di dunia dengan begitu baik sekali. Bagaimana dan apakah resipi adunan ini, itu korang kena mainkannya sendiri.

Pertempuran Sinematik Yang Padu

Kalau ditanya kepada penulis, apakah satu perkara dalam game ini yang boleh ‘memancing’ pemain lain membeli game ini, ia adalah pertempuran sinematik antara Kratos dan dewa-dewa dari Norse ini.

Penulis sebenarnya hilang kata-kata untuk menggambarkan bagaimana epiknya pertempuran antara dewa dalam game ini. Dengan rekaan karakter dewa yang kelihatan lebih seperti seorang manusia, tidak seperti siri-siri sebelum ini yang dewanya direka dengan lebih ‘berapi-api’, ia membuat pertempuran itu lebih realistik dan dekat dengan jiwa pemain.

Semasa pertempuran ‘final boss’, satu sinematik yang sangat padu telah disajikan – ditambah pula dengan tag-team antara Kratos dan Atreus yang mendapat ‘chemistry’. Ia sememangnya satu pertempuran sinematik yang penulis tidak akan lupa sampai bila-bila.

Gameplay Pertempuran Yang Puas

Baiklah, cukup dengan kita bersembang pasal jalan cerita. Kita masuk pula kepada gameplay. Gameplay-lah yang membuatkan kita benar-benar puas bermain siri God of War, ya tak?

Melalui pendekatan yang baru, seperti style bertempur yang baru, senjata-senjata yang baru, pandangan kamera yang lebih dekat dengan Kratos, bukan lagi mekanik melompat tetapi mengelak (evade) – semua ini menyumbang kepada sebuah pengalaman God of War yang lebih memuaskan serta menyegarkan.

Pasti korang semua sudah lihat dari pelbagai trailer yang dikeluarkan, senjata utama Kratos pada kali ini adalah kapak, membawakan senjata ikonik dari latar belakang Norse. Gameplay terbaru yang diperkenalkan yang menjadi kegemaran penulis dalam game ini adalah teknik membaling kapak.

Gerakan kegemaran penulis ialah membaling kapak ke arah musuh yang lebih jauh, kemudian tukar posisi Kratos agar apabila dia memanggil semula kapak itu ke dalam genggaman, kapak itu akan terbang melencong, melalui dan mencederakan beberapa musuh yang berada antara musuh jauh yang terkena kapak itu tadi dan Kratos. Ia memang satu cara membunuh yang sangat ‘stylo’.

Puzzle Mencabar

Bercakap mengenai kapak, ia bukan sahaja digunakan untuk membalingnya ke arah musuh, tetapi juga digunakan untuk membaling ke arah puzzle-puzzle yang perlu dibekukan oleh kapak ini. Ia sesuatu yang agak kreatif dalam mencipta pelbagai jenis puzzle.

Dan bercakap soal puzzle pula, God of War kali ini benar-benar telah mengubat rindu penulis kepada puzzle-puzzle mencabar yang sering disajikan dalam siri game ini. Game ini, seperti siri-siri God of War sebelum ini, menampilkan kepada kita dengan puzzle yang agak mencabar dan sama sekali tidak mengecewakan.

Menggabungkan teknik-teknik seperti balingan kapak, item magik yang ditemui sepanjang perjalanan game, bantuan dari Atreus, falsafah-falsafah dan mitos-mitos Norse – menjadikan puzzle-puzzle yang disajikan adalah sangat menguji minda dan kepuasan apabila dapat diselesaikan.

Kratos & Atreus Bergabung

Dari segi penceritaannya, Atreus adalah sebuah karakter yang memberi makna kepada siri God of War secara keseluruhan. Dari segi gameplay pula, Atreus ini umpama senjata tambahan kepada pemain itu sendiri.

Kita tidak boleh mengawal Atreus, tetapi kita boleh mengawal bilakah dia boleh melepaskan panahnya. Dengan menekan butang R2, kita boleh memberikan damage kepada musuh melalui jarak jauh.

Apabila game diteruskan, Atreus akan mendapat beberapa jenis anak panah yang bukan sahaja memberi impak kepada gameplay berlawan, tetapi juga mempunyai fungsinya yang berlainan dalam menyelesaikan puzzle-puzzle.

Armor, anak panah dan cara Atreus bertempur di jarak dekat juga mempunyai sistem progression-nya. Pemain boleh meng-upgrade dan meng-craft armor dan anak panah Atreus sepanjang perjalanan game ini.

Disebabkan Atreus yang boleh dikawal ini, ia membuatkan kita sebagai pemain terasa lebih dekat kepadanya. Selain memberikan impak perasaan semasa babak-babak sinematik, game ini juga menghubungkan kita sebagai Kratos dengan Atreus melalui gerakan yang boleh kita kawal semasa gameplay.

Gameplay Atreus ini tidaklah terlalu memberi kelebihan kepada pemain sehingga gameplay Kratos tenggelam, tetapi cukup untuk menghubungkan komunikasi dan interaksi antara watak Kratos dan anaknya ini.

Elemen RPG

Antara pembaharuan terbesar yang dibawakan ke dalam God of War pada kali ini adalah kemasukan elemen RPG (role-playing). Ia tidaklah menjadikan game ini sebuah game bergenre RPG sepenuhnya, tetapi memasukkan elemen ini hanya dalam kadar yang ringan sahaja.

Itu adalah sesuatu yang penulis alu-alukan. Sebagai seorang gamer yang kurang gemar dan kurang mahir bermain game RPG, penambahan elemen RPG yang ringan ini adalah sesuatu yang boleh diterima oleh penulis.

Pemain akan sentiasa berjumpa dengan tukang besi yang boleh meng-upgrade dan meng-craft armor, senjata dan magik-magik lain; serta mempunyai skill tree untuk kombat, kombo, cara-cara balingan kapak dan penggunaan kuasa tambahan yang membantu memudahkan pertempuran.

Open-World

Selain elemen RPG, persekitaran God of War pada kali ini adalah sedikit berbeza. Penulis tidak mahu memanggilnya sebagai open-world, tetapi lebih kepada semi-open-world.

Game ini masih mengekalkan sebuah jalan cerita yang linear, namun terdapat banyak lorong/jalan sampingan umpama side quest. Untuk mendapatkan armor dan senjata yang padu, pemain perlu bermain side quest-side quest ini bagi mencari item, XP tambahan dan hacksilver.

Di samping itu, ini pula pasti akan mengejutkan sesetengah daripada korang kerana fungsi ini pertama kali dibawakan ke dalam siri game ini. Selepas tamatnya jalan cerita game ini, sebuah misi terbaru akan di-unlock, yang mana ia hanya dapat dimainkan selepas korang berjaya menghabiskan jalan ceritanya terlebih dahulu, digelar Valkyries.

Pemain boleh berjalan-jalan secara bebas ke mana-mana lokasi yang telah pemain lalui sebelum ini. Dari sini, mungkin kita boleh buangkan terma ‘semi-open-world’ tadi dan gelarkannya sebagai sebuah game open-world yang penuh. Tetapi harus diingat, map yang ditampilkan tidaklah sebesar game-game open-world yang ada di luar sana.

Game Yang Sangat Panjang

Apabila dah sebutkan tentang open-world, haa ini penulis nak cerita. Penulis telah bermain God of War terbaru ini dengan 2 pendekatan. Pertama, penulis (1) bermain dengan difficulty Easy dan tidak menghiraukan langsung side quest yang ada. Kedua, penulis (2) bermain dengan difficulty Medium dan apabila bermain dengan musuh yang lebih kuat, kita terpaksa menyiapkan side quest untuk menaikkan kekuatan armor dan senjata.

Game ini sangat panjang. Sememangnya berita baik untuk korang yang gemarkan game yang panjang. Walaupun penulis bermain dengan cara (1), ia mengambil masa kira-kira 14 atau 15 jam untuk dihabiskan. Bermain dengan cara (2) pula, ia mengambil masa kira-kira 20 jam untuk ditamatkan.

Jadi, apa yang diperkatakan oleh pengarah game ini, Cory Balrog, bahawa game ini perlu dihabiskan dengan 40 jam untuk mendapat 100% lengkap, ia bukan omong kosong. Setelah habis dengan satu pusingan, pemain perlu bermain pula dengan difficulty God, yang sememangnya membawakan musuh yang jauh lebih kental. Jadi, 40 jam itu mungkin adalah munasabah untuk mendapatkan trofi Platinum.

Untuk makluman tambahan, game ini menyediakan 4 tahap difficulty iaitu Give Me a Story (Easy), Give Me a Balanced Experience (Medium), Give Me a Challenge (Hard) dan Give Me a God of War (God).

Tiada Loading Screen

Satu feature yang paling mengagumkan penulis dalam God of War kali ini adalah ketiadaan loading screen. Yup, korang bacanya dengan betul.

Peralihan antara sinematik dan gameplay disajikan dengan begitu smooth sekali. Ditambah pula dengan grafik yang memukau, walaupun penulis menggunakan PS4 biasa, dan muzik yang menaikkan bulu roma, game ini memberikan pengalaman yang cukup istimewa.

Tiada satu detik pun dalam game ini di mana korang akan melihat skrin hitam untuk menukar dari babak sinematik kepada gameplay. Ini mungkin adalah game pertama yang menyampaikan peralihan sebegini rupa.

Hanya dua bahagian sahaja korang akan disajikan dengan skrin hitam, iaitu semasa korang mati dan apabila korang ingin sambung bermain semula selepas keluar darinya sebelum itu. Dua bahagian ini sahaja.

Bermakna, katakanlah kalau korang bermain secara terus dari awal sampai habis tanpa henti dan tanpa mati – tiada satu detik pun korang akan berjumpa dengan skrin hitam.

Konfigurasi Butang Klasik

Sekiranya korang perasan dalam trailer-trailer yang dikeluarkan, ada sedikit perubahan kepada butang-butang yang digunakan semasa gameplay. R1 untuk light attack dan R2 untuk heavy attack.

Entah kenapa, walaupun telah meninggalkan God of War beberapa tahun, nostalgia menekan butang petak untuk light attack dan butang segitiga untuk heavy attack masih dalam ingatan. Mujurlah mereka memahami pemain-pemain seperti penulis.

Terdapat butang konfigurasi klasik yang menggunakan butang petak untuk light attack dan butang segitiga untuk heavy attack – dan penulis pun boleh bermain sambil tersenyum.

Ada Yang Terlalu Meleret

Penulis faham, game yang lebih panjang dan lebih lama untuk dihabiskan itu semestinya lebih berbaloi untuk dibeli. Namun, ada kurangnya juga apabila jalan ceritanya terlalu meleret.

Penulis tidak bercakap mengenai jalan cerita utamanya secara keseluruhan. Apa yang disampaikan dalam game ini melalui jalan cerita utamanya secara keseluruhan semestinya adalah sebuah kisah yang akan membuat jiwa peminat tegar siri ini sungguh teruja.

Apa yang penulis kurang berkenan tentang game ini adalah cerita-cerita sampingannya yang kadang-kala terlalu meleret dan tidak memberi kesan signifikan kepada jalan cerita utamanya. Ia sepatutnya boleh dipendekkan dalam memberikan pemain satu plot yang sentiasa berhubung dengan padat dan klimaks yang lebih cantik.

Apabila terlalu lama menghabiskan masa pada jalan cerita meleret itu, pemain berkemugkinan boleh terasa bosan dan terlupa akan apakah jalan cerita utama yang sedang dimainkan.

Penamaan Judul Yang Keliru

Ini satu keputusan yang memang penulis tak faham. Seperti yang penulis katakan di atas, God of War tahun 2018 ini sememangnya sebuah sekuel kepada siri-siri God of War sebelum ini. Dan sekiranya korang tidak tahu, judul rasmi untuk game ini hanyalah “God of War”. Bukan “God of War 4”, bukan “God of War IV” atau apa-apa judul yang sepatutnya mereka gunakan.

Sebagai peminat tegar siri ini, amat sukar untuk kita bersembang-sembang mengenai game ini, sering kali akan terkeliru memanggil siri God of War yang mana satu. Panggilan “God of War” sahaja pastinya sesuatu yang agak janggal.

Mungkin Santa Monica menggunakan alasan pertukaran ke mitos yang baru sebagai faktor ‘me-reboot’ judulnya, tetapi bagi penulis ia bukan satu alasan yang munasabah.

Maka, timbullah satu lagi kemusykilan. Judul apakah yang mereka akan gunakan dalam sekuel kepada God of War 2018 ini? Sama-samalah kita tunggu.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Penulis tidak mahu cakap banyak. Kalau korang peminat setia siri God of War, game ini pastinya adalah game yang BOLEH BELI untuk korang. Dengan gameplay yang mantap, pelbagai elemen baru, pertempuran sinematik epik, kisah mitos yang penuh misteri – semua ini membuatkan jiwa korang sebagai dewa peperangan akan menggelegak.

JomBaca: God of War Dah Boleh Pre-Order – Apa Yang Korang Perlu Tahu Tentang Collector’s Dan Digital Deluxe Edition

Namun, kalau korang seorang yang tidak gemar terhadap game-game yang ganas dan kejam, jalan cerita yang panjang dan perkaitan antara siri-siri God of War sebelum ini, bolehlah korang lupakan game ini kerana ia adalah BOLEH BLAH untuk korang.

+ Hubungan bapa dan anak yang istimewa
+ Pertempuran sinematik yang epik
+ Gameplay memuaskan
+ Gabungan dua mitos yang unik
+ Elemen RPG yang ringan
+ Kisah yang penuh misteri
+ Puzzle yang mencabar
+ Teknik balingan kapak yang menarik
+ Tiada loading screen
+ Grafik memukau, muzik mantap
+ Butang konfigurasi klasik
+ Ada misi, open-world lepas tamat

Jalan cerita sampingan meleret
Judul yang keliru

Comments

comments

WordPress database error: [Got error 28 from storage engine]
SELECT t.*, tt.* FROM wp_terms AS t INNER JOIN wp_term_taxonomy AS tt ON t.term_id = tt.term_id INNER JOIN wp_term_relationships AS tr ON tr.term_taxonomy_id = tt.term_taxonomy_id WHERE tt.taxonomy IN ('post_tag') AND tr.object_id IN (40475) ORDER BY t.name ASC

WordPress database error: [Got error 28 from storage engine]
SELECT t.*, tt.*, tr.object_id FROM wp_terms AS t INNER JOIN wp_term_taxonomy AS tt ON t.term_id = tt.term_id INNER JOIN wp_term_relationships AS tr ON tr.term_taxonomy_id = tt.term_taxonomy_id WHERE tt.taxonomy IN ('category', 'post_tag', 'post_format') AND tr.object_id IN (42406) ORDER BY t.name ASC