Sejak fenomena battle royale yang diletupkan oleh PUBG dan Fortnite, banyak game shooter popular ingin turut serta dalam hype train battle royale ini. Call of Duty akan masukkan mode Blackout dalam Black Ops 4. EA pula telah umumkan Battlefield V: Royale.

Tapi, kalau korang perasan, ada satu game shooter popular yang bukan sahaja kita tidak mendengar peminat inginkan mode battle royale dibawa masuk ke dalam game ini, tetapi kita juga tak mendengar sebarang komen daripada pembangunnya mengenai trend ini. Game ini ialah Rainbow Six Siege (R6S).

Tidak Sesuai Dalam R6S

Sekilas pandang, R6S sememangnya sebuah game yang konsepnya, mekaniknya, dan rekaan map-nya tidak sesuai untuk mode battle royale. Salah satu elemen utama battle royale ialah map-nya yang besar, meletakkan pemain yang ramai dan map semakin mengecil mengikut waktu.

Kalau difikirkan, macam manalah R6S nak dimasukkan dengan mode battle royale, ya tak? Map dahlah kecil. Kawasan map pula ada bangunan-bangunan yang menegak (vertical). Jumlah pemain pula 5v5 saja, macam mana nak masukkan 100 pemain?

The Raid Sebagai Inspirasi

Beberapa hari lalu, penulis telah menonton semula filem The Raid Redemption (TRR) untuk entah berapa kali agaknya. Dan secara tiba-tibanya, penulis mendapat idea bagaimana filem ini boleh menjadi inspirasi kepada mode battle royale dalam game R6S.

Bagi korang yang sudah menyaksikan TRR, pastinya korang tahu bagaimana epik dan mantapnya filem ini. Bagi korang yang belum tontonnya lagi, jom penulis gambarkan bagaimana hebatnya TRR supaya korang tidak teragak-agak untuk menonton filem ini.

Mantapnya Filem The Raid

TRR merupakan sebuah filem produksi Indonesia, dibarisi pelakon-pelakon asal Indonesia dan diarahkan oleh Gareth Evans yang berasal dari Wales. TRR telah mengangkat martabat filem aksi Indonesia khususnya, dan filem aksi Asia amnya, ke satu tahap yang lebih tinggi. Filem ini secara tak langsungnya telah memperkenalkan seni beladiri masyarakat Nusantara, iaitu Silat ke mata dunia.

Penulis ingin tegaskan di sini, kalau korang dah tonton TRR, segala filem aksi Hollywood, Bollywood, Hong Kong, mahupun Thailand, korang akan tolak filem-filem itu ke tepi. Sebab apa? Sebab aksi dan koreografi Silat yang dibawakan ke dalam TRR adalah satu karya yang sungguh istimewa dan mampu membuatkan penonton tergamam.

Bukan itu sahaja, malah TRR juga telah mempopularkan beberapa pelakon utamanya sehingga nama mereka kini meniti di bibir peminat Hollywood. Antaranya Iko Uwais dan Yayan Ruhian pernah tampil dalam Star War Episode 7: The Force Awakens. Cecep Rahman pula (penjahat utama dalam sekuel TRR, The Raid 2) dan juga Yayan Ruhian akan menjadi bintang dalam John Wick 3 yang sedang dalam penggambaran sekarang.

The Raid, Battle Royale & R6S – Bagaimana?

Bagaimana TRR boleh menjadi inspirasi kepada mode battle royale dalam R6S? Ia terletak kepada keseluruhan jalan cerita itu sendiri.

Boleh dikatakan 99% filem ini hanya dipaparkan dalam bangunan yang mempunyai 15 tingkat. Pasukan polis elit telah ditugaskan untuk menyerbu bangunan ini, yang mana pada mulanya ia disangkakanya hanya serbuan biasa yang mudah, namun pelbagai halangan dan plot twist yang muncul sepanjang misi serbuan mereka ini.

Anggota-anggota polis ini terpaksa naik satu persatu tingkat bagi menawan setiap tingkat agar mereka dapat naik ke tingkat teratas, iaitu tingkat ke-15. Di setiap tingkat, penonton akan disajikan dengan babak-babak aksi tembak-menembak dan pertempuran jarak dekat Silat yang sungguh memukau.

Dan di sinilah bagaimana R6S boleh mengambil inspirasi daripada filem ini untuk mencipta mode battle royale mereka sendiri. Pengosongan setiap tingkat dan aksi-aksi untuk naik ke tingkat teratas dalam filem ini adalah kunci utama kepada mode battle royale dalam R6S yang mempunyai map yang vertical dan kawasan yang tidak berapa luas.

Tingkat Ganti Bulatan

Kalau kebanyakan game battle royale akan menjadikan bulatan (gas atau ribut) sebagai cara untuk mengecilkan kawasan permainan serta mempertemukan kesemua pemain yang ada, mode battle royale R6S pula boleh menjadikan setiap tingkat ini sebagai pengganti kepada sistem bulatan ini.

Bermakna, sebagai contoh, di awal permainan, kesemua 15 tingkat boleh diakses oleh semua pemain. Kemudian, semakin lama permainan, seperti mana game-game battle royale lain, tingkat yang boleh diakses akan mengecil. Diteruskan dengan 10 tingkat boleh diakses, kemudian semakin mengecil menjadi 5, 3, 2 dan akhirnya 1 — pertempuran terakhir dalam battle royale!

Ke arah mana tingkat ini mengecil pastinya menjadi sesuatu yang rawak (random) seperti mana game-game battle royale lain. Mungkin ada game yang tingkatnya mengecil di bahagian atau tingkat teratas bangunan, dan mungkin ada pula pusingan yang menutup di tingkat bawah bangunan. Maka, permainan tidaklah akan sentiasa fokus di tingkat atas. Apabila tingkat mengecil di tingkat bawahan, skuad yang berada di tingkat atas pula perlu mengatur strategi untuk turun ke tingkat yang lebih bawah pula.

Letupkan Segala Laluan Yang Ada

Bercakap tentang menawan musuh sama ada menyerang dari bawah ke atas atau menyerbu dari atas ke bawah, ia pastinya sangat seronok dimainkan dalam R6S. Game ini cukup terkenal dengan kepelbagaian laluan yang boleh diambil untuk memasuki ke satu-satu bilik/ruang. Rekaan map untuk mode battle royale R6S perlu memastikan yang satu-satu tingkat bukan hanya boleh diakses dari satu laluan sahaja, tetapi skuad boleh dikejutkan oleh musuh dari pelbagai arah — membawa ketengangan battle royale itu ke satu tahap yang baru!

Gunakan breaching charge, exothermic charge, grenade launcher, impact grenade atau apa sahaja gajet dalam R6S untuk membuka laluan baru untuk mengejutkan musuh — mengatur gerakan-gerakan yang cukup ikonik dalam game yang penuh taktikal ini.

Ada Apa Dengan Operator?

Untuk pemilihan Operator pula, memandangkan mode ini tidak mempunyai tugas Attacker atau Defender disebabkan elemen battle royale itu sendiri yang menyajikan momen-momen menyerang dan bertahan pada bila-bila masa sahaja, penulis rasakan Ubisoft perlu membuka mode ini untuk pemain pilih mana-mana Operator yang ada. Bayangkan saja apabila Montagne bergabung bersama Jager, Ela dan Caveira dalam suasana battle royale yang mendebarkan!

Pemilihan Operator berbeza ini mungkin hanya berfungsi untuk gajet-gajet unik yang mereka ada sekarang ini. Misalnya, Operator Kapkan akan spawn bersama-sama dengan perangkap laser-nya, tetapi senapang, pistol, armor dan lain-lain item perlu dicari sekitar bangunan untuk mewujudkan pengalaman ‘looting’ dalam mode battle royale.

100 Pemain Dalam R6S?

Untuk bilangan pemain pula, R6S pada masa ini hanya membenarkan 10 pemain sahaja dalam satu-satu perlawanan, iaitu 5-lawan-5. Penulis bukanlah seorang yang tahu tentang pembangunan game dari segi teknikal, namun penulis merasakan agak mustahil untuk meletakkan jumlah pemain yang terlalu ramai dalam satu-satu perlawanan battle royale R6S.

Pada hemat penulis, jumlah pemain yang sesuai yang mungkin boleh dicuba oleh Ubisoft untuk mode battle royale dalam game ini ialah 16 pemain, membawakan 4v4v4v4. Empat skuad yang terdiri daripada empat pemain boleh diletakkan di empat bahagian berbeza dalam bangunan itu tadi (mustahil untuk bawakan elemen payung terjun haha). Para pemain boleh cari loot terlebih dahulu di tingkat yang mereka spawn, serta beberapa tingkat berdekatan. Sudah lengkap dengan senjata dan aksesori-aksesori lain, barulah lebih yakin untuk menggempur tingkat-tingkat yang lebih jauh.

Jumlah 16 pemain ini hanyalah pandangan penulis sahaja. Sekiranya Ubisoft mampu meletekkan lebih ramai pemain dalam satu-satu perlawanan, itu adalah lebih baik.

Ikut Seperti Operation Outbreak

Mungkin akan ada yang menimbulkan kerisauan apabila mode battle royale dibawa masuk ke dalam R6S. Akan ada yang mengatakan ia mengganggu teras utama gameplay ini yang menjanjikan unsur-unsur kompetitif 5v5.

Penulis rasa, apa yang Ubisoft boleh cuba lakukan ialah menggunakan cara yang sama seperti membawakan Operation Outbreak. Ya, korang masih ingat dengan Operation Outbreak?

Dalam DLC ini, Ubisoft membawakan mode co-op 3-pemain melawan zombi. Mode ini semestinya merupakan sesuatu yang tiada unsur kompetitif 5v5. Jadi, Ubisoft boleh membawakan dan mencuba terlebih dahulu mode battle royale R6S dalam DLC yang boleh dimainkan buat sementara waktu, sama seperti yang mereka lakukan dalam Operation Outbreak ini.

Sekiranya ia mendapat sambutan yang menggalakkan, penulis pasti yang Ubisoft akan mengekalkan mode battle royale ini.

Inilah pandangan penulis tentang bagaimana filem Indonesia The Raid boleh menjadi inspirasi kepada mode battle royale dalam Rainbow Six Siege. Korang ada idea lain yang nak ditambah? Atau korang ada filem lain yang juga boleh dijadikan inspirasi?

Atau mungkin korang rasa game ini tidak perlulah mengikut trend battle royale? Tuliskan komen korang di bawah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.