Antara pelbagai jenis game capture card yang ada, mengapa Elgato? Saya memilih Elgato HD60 Pro atas nasihat beberapa rakan streamers, harga berpatutan, dan ada bantuan soal-jawab troubleshooting yang jelas difahami di laman web Elgato Gaming.

JomBaca: JomUnbox: Elgato Game Capture HD60 Pro – Capture Card Untuk Gamer Multi-Platform!

Tetapi bak kata rakan gamer (peracun) Devilspade, sebaik sahaja menjejak ke alam teknologi PC, memang tidak boleh pulang balik. Ia bermula dengan satu game capture card; beberapa minggu kemudian, bilik saya pula menjadi studio streamer.

Jom baca punca ketagihan Liza Langkasuka ke alam streaming, Elgato Game Capture HD60 Pro – Boleh Beli or Boleh Blah!?

Kuasa Game Capture

Elgato Game Capture HD60 Pro adalah alat peranti tahap tinggi untuk memudahkan games merakam video dari PS4, Switch, Xbox One atau mana-mana alat gaming dengan output HDMI. Di samping itu, ia juga boleh menayangkan live streaming terus ke Internet. Berbeza dari siri Elgato HD yang lain, HD60 Pro berasaskan kad PCI. Ini menyebabkan ia kurang praktikal bagi gamer laptop atau sesiapa yang ingin berkongsi alat antara rakan streamers.

Bahagian depan kotak. Lukisan rupa bentuk kad PC jelas kelihatan.

Reka bentuk kad sendiri adalah papan PCB hitam dengan penutup badan warna hitam dengan beberapa lubang ventilasi. Ia bersaiz agak kecil/sederhana dan juga disediakan satu braket I/O plate kecil yang membolehkan kad ini disambungkan pada mana-mana kes CPU besar atau kecil.

Kad ini mempunyai dua slot HDMI; satu slot input dari alat gaming (konsol atau PC) dan satu slot output untuk disambungkan pada monitor lain secara kaedah laluan passthrough.

Cara memasang adalah senang; masukkan card elok-elok di mana-mana slot PCIe 1x/4x/8x/16x di dalam CPU. Pergi ke laman web Elgato Gaming dan muat turunkan program driver terkini. Kemudian, sambungkan wayar-wayar HDMI pada konsol dan monitor TV dan justeru, korang boleh mulakan sesi streaming!

Isu Semasa Streaming dengan PS4

Konsol yang saya gunakan untuk streaming adalah PS4. Salah satu isu utama semasa persediaan sistem dan  pembukaan streaming pertama adalah konfigurasi audio dengan konsol PS4. Tabiat saya adalah memasang 3.4mm analog jack pada kontroler DS4 untuk penggunaan headset dan mikrofon.

Tetapi secara am, sistem PS4 menutup audio HDMI bila ia mengesan headset disambungkan pada DS4. Ini supaya menghalang bunyi gema echo antara headset gamer dan speaker besar di TV. Tetapi ini juga menyebabkan kad game capture tidak dapat merakamkan signal audio PS4 untuk streaming dan hanya dapat menyiarkan visual PS4 sahaja.

Walaupun isu ini tidak timbul jika hanya memainkan game secara terus dari audio TV, ia agak susah/tidak selesa untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan dalam party chat, terutamanya dalam game multiplayer. Untungnya, Elgato telah membuat solusi untuk masalah ini dengan wayar Gaming Chat Link.

Wayar Chat Link dipasang antara DS4 dan headset untuk ‘menangkap’ audio game dari kontroler dan menyambungkannya pada PC dan system Elgato. Ini membolehkan audio yang boleh didengar oleh gamer juga akan disiarkan semasa livestream. Suara gamer sendiri pula dirakam serentak dengan USB mikrofon pada PC. Inilah sebab adanya sebilangan game PS4 streamers dilihat akan memakai headset dan juga menggunakan mikrofon semasa livestream.

Butir-butir konfigurasi ini dan bermacam-macam lagi berkenaan HD60 Pro banyak terdapat di video tutorial dalam channel YouTube Elgato.

Software Game Capture

Walaupun HD60 Pro boleh dikonfigurasikan dengan sistem streaming terkini seperti OBS dan XSplit, Elgato juga menyediakan program sendiri Game Capture HD yang senang digunakan dan cepat difahami. Ciri yang paling ketara dalam software ini adalah fungsi Instant Gameview, sebuah skrin paparan pratonton yang gamers boleh meneliti seperti yang disiarkan di livestream.

Instant Gameview membolehkan korang gaming dan stream dengan monitor PC tanpa kaedah laluan passthrough dengan monitor kedua. Ini elok untuk gamers dengan sumber terhad. Semasa membuat ujian livestream, saya mendapati fungsi pratonton ini adalah sangat stabil dengan sedikit lag yang hampir tidak boleh dikesan. Lag ini juga sedikit lebih ketara bila membuat video rakaman serentak dengan siaran livestreaming.

Walaupun ianya tidak sangat mengganggu sesi gaming, saya tidak mengesyorkan gaming terus dari Instant Gameview untuk game yang memerlukan tindakbalas pantas seperti FPS. Malah, saya lebih menggunakan fungsi ini untuk membuat penyesuaian corak templat overlay semasa streaming seperti memasang logo, stream chat, dan senarai pengikut.

Selain itu, streamer juga boleh memilih untuk membuat eksport rakaman livestream kepada beberapa bentuk format berlainan. Contohnya rakaman game tanpa templat overlay atau webcam, rakaman webcam sahaja, rakaman ulusan commentary dari gamer, dan lain-lain.

Sekiranya livestream dijalankan tetapi tidak memasang rakaman video stream serentak, program Game Capture juga mempunyai fungsi merakam secara automatik di belakang. Streamer boleh menyusun konfigurasi waktu timeline rakaman ke masa saat yang dicari dan tekan butang Record. Ia akan merakam semua bahagian yang sudah berlalu secara flashback. Ciri ini amat berguna bila tersempak mana-mana pekara luar biasa dalam game.

Secara keseluruhan, program Game Capture adalah sistem software yang mudah digunakan untuk membuat livestreaming dan beberapa penyesuaian streaming overlay serta membuat rakaman gaming video dan penyuntingan asas untuk video.

Livestreaming dan Rakaman Game Video

Dengan platform streaming YouTube, Twitch, dan Facebook, pengalaman saya semasa membuat livestreaming dengan HD60 Pro adalah baik dan senang dimainkan. Kualiti video livestreaming juga boleh dinaiktaraf, 720p-30fps jika menggunakan Facebook atau 1080p-60fps jika bertukar pula pada Twitch dan Youtube. Sistem juga mempunyai kemudahan support dengan platform multi-streaming Restream.io jika korang mempunyai akaun peribadi.

Beban CPU, aliran audio, dan tahap kualiti livestreaming berdasarkan pada konfigurasi yang ditetapkan, tetapi program sendiri dapat mengesan jika ada mungkinnya masalah akan timbul dan memberi cadangan alternatif. Contohnya percanggahan audio HDMI dengan audio PC atau konfigurasi kualiti livestreaming adalah terlalu tinggi untuk muatan bandwidth Internet yang digunakan.

Sumber: https://help.elgato.com/customer/portal/articles/1791519-improving-streaming-performance-in-elgato-game-capture-hd-2-software

Streamer juga boleh merakamkan sesi livestream dengan membuat video rakaman serentak tahap 1080p-60fps terus pada hard drive PC dalam satu format master copy. Ini adalah elok jika streamer ingin muatnaik rakaman streaming pada YouTube atau Facebook dalam kualiti video terbaik.

Keputusan – Boleh Beli or Boleh Blah!?

Asalnya, saya membeli kad game capture dengan hasrat dapat membuat streaming gameplay konsol PS4 tanpa halangan konfigurasi PlayStation Network. Contohnya suara gamers dalam party chat yang tidak boleh dirakamkan atau gameplay dari mana-mana game terbaru yang disekat dari streaming di hari pelancaran.

Kebanyakan konsol-konsol masa kini sudah mempunyai fungsi merakam aksi gaming, membuat livestreaming, dan berkongsi klip video. Justeru HD60 Pro merupakan satu produk khusus dengan pelbagai kelebihan. Dengan ciri-ciri fungsi lengkap dan sokongan dengan sistem streaming 3rd-party yang terkenal, ianya adalah bagi gamers yang benar-benar berdedikasi dalam merantau dunia games streamer.


+ Kualiti rakaman yang tinggi
+ Senang dan pantas untuk membuat livestreaming
+ Boleh membuat video rakaman serentak dengan siaran livestreaming
+ Program Game Capture dengan reka bentuk UI yang mudah difahami
+ Banyak kemudahan video tutorial di laman YouTube Elgato

Kad PCI-E tidak praktikal untuk berkongsi antara rakan streamers
 Fungsi Instant Gameview tidak elok untuk game gerak pantas seperti FPS
Ciri-ciri pengubahsuaian rakaman video adalah terlalu asas

Elgato Game Capture HD60 Pro boleh didapati di mana-mana laman web membeli-belah seperti Lazada.com.my dan Ubuy.com.my dengan harga RM989. Klau korang ada apa-apa soalan, kemukakanlah pada Kak Liza @ Facebook Liza Langkasuka ;).

Comments

comments