Sekiranya korang mengikuti perkembangan scene gaming tempatan, pasti korang sudah mendengar tentang CyberFest 2017, festival gaming terbesar Malaysia.

Rata-rata gamers seluruh Malaysia semestinya sudah teruja dan tidak sabar untuk mengetahui lebih lanjut tentang acara ini. Dan dalam artikel kali ini, kami akan berkongsi dengan korang, apakah perkara-perkara menarik yang korang kena tahu tentang CyberFest 2017. Jom kita tengok!

1. Bila CyberFest 2017 Akan Berlangsung?

Festival terbesar bagi komuniti gaming Malaysia ini akan berlangsung dari 24 hingga 26 November 2017. CyberFest 2017 bakal berlangsung selama 3 hari 2 malam. Apa yang ada sepanjang 3 hari 2 malam ini? Haa, korang teruskan membaca!

2. Objektif CyberFest 2017

Sebagai festival terbesar bagi komuniti gaming Malaysia, CyberFest 2017 membawakan objektif utamanya untuk mendidik masyarakat Malaysia secara umum bahawa industri gaming adalah sesuatu yang menguntungkan serta mempunyai masa depan yang cerah.

Menyajikan pesta kerjaya dalam gaming, pesta pendidikan dalam gaming, pertandingan esport, LAN Party, tabletop gaming, pameran dan jualan, serta bermacam lagi aktiviti yang berkaitan dengan gaming – CyberFest 2017 merupakan acara yang pertama kali menggabungkan kesemua aspek gaming ini dalam satu tempat.

3. Venue CyberFest 2017

Sumber: Facebook MYNISS.

CyberFest 2017 bakal diadakan di Empire City, Petaling Jaya, Ianya masih belum dibuka sepenuhnya, tapi bila dah dibuka secara rasmi pada bulan Mac 2018 nanti, ianya bakal menjadi sebuah pusat membeli-belah yang terbesar di Malaysia!

Tapi, apa yang mungkin korang tidak tahu adalah, sepanjang 3 hari 2 malam itu, CyberFest 2017 akan berlangsung dalam satu bangunan yang juga menempatkan Malaysian National Ice Skating Stadium (MYNISS) – gelanggang ice skating rink yang sama digunakan semasa Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur bagi acara-acara sukan yang bertemakan sukan ais.

Adakah kita akan bergaming di atas ais? Sama-sama kita nantikan pengumuman selanjutnya!

4. Pesta Kerjaya Dalam Industri Gaming

Pesta kerjaya dalam gaming yang bakal dibawakan ke dalam CyberFest 2017 ini nanti akan mengetengahkan pelbagai syarikat yang dekat dengan pembangunan game, produk gaming, barangan (merchandise) gaming – secara ringkasnya semua yang berkaitan dengan industri gaming.

Streamline Studios, Catgear Games dan Appcable adalah antara syarikat yang akan memperlihatkan peluang kerjaya yang ada dalam industri gaming Malaysia, dalam masa yang sama merekrut para gamers yang mempunyai minat yang mendalam untuk dibawa masuk ke dalam industri ini.

CyberFest 2017 akan memenuhi keperluan para pencari kerja – sama ada para graduan dan profesional yang berpengalaman bagi mencari syarikat yang terbaik untuk mereka kembangkan minat dan bakat mereka dalam industri gaming.

5. Pesta Pendidikan Dalam Industri Gaming

Pesta pendidikan dalam industri gaming yang akan dibawakan ke dalam CyberFest 2017 bakal menampilkan pelbagai institusi pendidikan dari dalam mahupun luar negara yang menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan pembangunan video game.

Sifir mudahnya, CyberFest 2017 akan membantu para ibu bapa dan anak-anak muda bagi mencari kursus-kursus yang sesuai untuk membina asas yang kukuh dalam menceburi bidang yang berkaitan dengan gaming pada masa hadapan.

Asia Pacific University akan menampilkan kursus-kursus pembangunan games dan akademi esports mereka. KDU dan MMU juga akan hadir dan menampilkan kurusus-kursus pembangunan game mereka. Cyberview Sdn. Bhd. dan LimKokWing University pula akan menawarkan biasiswa penuh bagi mereka yang layak!

6. Evolusi CyberFusion – LAN Party 

CyberFusion 2016.

Salah satu aktiviti yang dianjurkan semasa CyberFest 2017 adalah LAN Party tanpa henti selama 3 hari 2 malam! LAN Party 3-hari-2-malam? Macam pernah dengar je kan?

Ya, betul! CyberFest 2017 merupakan evolusi kepada CyberFusion, pemegang rekod Guinness World Book Of Record bagi LAN Party paling lama di dunia, kini bakal kembali pada tahun ini.

Selepas enam tahun menjayakan acara LAN Party idaman ramai ini, CyberFest akan menjadi kesinambungan kepada acara CyberFusion yang menjadi tarikan gamers setiap tahun! Cyberview Sdn. Bhd., penganjur utama CyberFusion akan turut menyertai CyberFest 2017 sebagai rakan strategik!

7. Pertandingan Esport Yang Pelbagai

Mana-mana acara gaming, pastinya tidak akan meriah sekiranya tanpa pertandingan esport. Jangan risau, kerana dalam CyberFest 2017, terdapat banyak pertandingan esport, melibatkan kira-kira 3,000 peserta, yang secara keseluruhannya akan menyajikan hadiah wang terkumpul sebanyak RM100,000!

Antara pertandingan esport utama yang akan memeriahkan CyberFest 2017 adalah pertandingan DotA 2, Counter Strike: Global Offensive, FIFA 18, dan pertandingan-pertandingan esports komuniti seperti Call of Duty: WWII, Overwatch, Street Fighter V, Marvel vs Capcom: Infinite dan Guilty Gear Xrd REV 2.

8. Tabletop Gaming

Tabletop gaming – salah satu cabang dalam gaming yang saban hari dilupakan oleh kebanyakan gamers masakini. Untuk menghidupkan lagi permainan ini, tabletop gaming akan mewarnai CyberFest 2017.

Dikelolakan oleh The Safehouse, kawasan tabletop gaming ini akan menampilkan game-game dari syarikat-syarikat besar terkemuka yang membangunkan tabletop gaming, menganjurkan pelbagai pertandingan dan bengkel untuk memahami lebih lanjut tentang tabletop gaming – satu cabang berpotensi besar yang boleh dikatakan kurang mendapat perhatian di Malaysia.

9. Jualan & Pameran Gaming

CyberFest 2017 akan turut menyediakan ruang-ruang khas kepada perniagaan-perniagaan dan syarikat-syarikat untuk menjual atau mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka kepada demografik yang lebih khusus – gamer-gamer Malaysia!

 

10. Siapa Di Belakang CyberFest 2017?

CyberFest 2017 dibawakan kepada korang oleh Spotgamers, JomGaming dan Gamesbond. Acara komuniti gaming gilang-gemilang ini turut dijayakan oleh 20 komuniti gaming lagi. Mereka adalah:

CyberFest 2017 juga pastinya tidak akan berjaya tanpa kehadiran penaja-penaja. Acara ini telah dibawakan dengan kolaborasi bersama Empire City sebagai penaja utama, HP sebagai peranti gaming rasmi dan AMD sebagai pemprosesan gaming rasmi, E-blue sebagai kerusi gaming rasmi, Cyberview Sdn. Bhd. sebagai rakan kongsi strategik dan banyak lagi penaja daripada jenama yang berkait dengan gaming.

Tidak dilupakan, CyberFest 2017 turut disokong dan disahkan oleh Esport Malaysia, badan penguasa nasional bagi inisiatif esport.

 

11. Pendaftaran Kini Telah Dibuka!

Pendaftaran untuk empat aktiviti iaitu pertandingan esports, LAN party, tabletop gaming dan pendaftaran tapak pameran kini telah dibuka. Jadi, kepada korang yang tak mahu lepaskan peluang ini, baik daftar dengan cepat kerana slot adalah terhad. Korang boleh lakukan pendaftaran tersebut di www.cyberfest.asia

Korang juga boleh ikuti perkembangan terkini tentang acara ini melalui laman Facebook CyberFest 2017.

12. Apalagi Aktiviti Yang Ada?

Kata festival terbesar bagi komuniti gaming Malaysia, kan? Mestilah ada macam-macam aktiviti gaming yang lain! Ya, korang jangan risau kerana selain aktiviti-aktiviti yang telah kami sebutkan di atas, ada banyak lagi acara yang menantikan korang kelak yang masih belum diumumkan!

Jadi, bersediakah korang untuk alami acara gaming terbesar dan paling gempak dalam hidup korang? Bermacam lagi info tambahan akan kami dedahkan di JomGaming, maka teruskan bersama kami!

Comments

comments