Siri Call of Duty akan kembali ke pangkal jalan?

Pernahkan anda dengar mengenai mogok yang dilakukan oleh Screen Actors Guild-American Federation of Television and Radio Artists (SAG-AFTRA)? Ia merupakan mogok yang dilancarkan oleh para pelakon suara dalam industri video game untuk menekan beberapa syarikat besar yang telah berlangsung selama 2 minggu. Antara syarikat yang terlibat ialah Electronic Arts, Take-Two Interactive, Activision, dan Warner Bros. Interactive.

Isu ini mungkin telah merencatkan sedikit sebanyak pembangunan beberapa game, dan ia juga telah mengakibatkan game-game tersebut didedahkan sebelum sepatutnya, antaranya ialah siri Call of Duty untuk tahun 2017.

Menurut senarai projek yang terkesan daripada mogok ini yang dikeluarkan oleh SAG-AFTRA, siri terbaru tahun ini bakal digelar Call of Duty: Lethal Combat. Terdapat juga laporan yang mengatakan bahawa ia turut menggunakan judul Call of Duty: Stronghold, menunjukkan bahawa nama akhir untuk siri 2017 ini masih lagi belum dimuktamadkan oleh Sledgehammer.

Sebelum ini, kami telah melaporkan bahawa Sledgehammer telah mengeluarkan video terbaru, di mana para peminat sudah mula berspekulasi mengenai siri CoD 2017.

Pendedahan senarai game oleh SAG-AFTRA ini tidak menyatakan apa-apa info lanjut mengenai Lethal Combat, namun beberapa sumber lain pula telah memunculkan diri dalam mendedahkan apa yang telah dilihat daripada gameplay-nya. Menurut sumber dari forum se7ensins, Lethal Combat bakal menggunakan latar belakang Perang Vietnam.

Penggunaan latar belakang 70-an ini semestinya telah dijangka ramai, memandangkan betapa teruknya ia telah dikecam oleh para peminat terhadap pendekatan CoD: Infinite Warfare tahun lalu yang menggunakan latar belakang angkasa lepas. Apatah lagi, pesaing utama siri CoD, Battlefield telah menggunakan tema yang kembali ke masa lampau, menggunakan latar belakang Perang Dunia Pertama dalam Battlefield 1.

Teori ini dikuatkan lagi apabila kita mengetahui bahawa Sledgehammer pernah mengusahakan game Call of Duty dalam third-person, berlokasi di Vietnam, sebelum mereka disuruh untuk membangunkan Advanced Warfare.

Laporan dari forum tersebut juga menyatakan bahawa beliau telah menyaksikan gameplay dari Lethal Combat. Antara gajet dan kenderaan yang disebutkan beliau adalah Recon Plane, Radar Jammer, Reinforcement Chopper, Chopper Gunner, 5 Agent Orange grenades, flamethrower dan mortar.

Anda boleh baca di sini tentang pandangan beliau apabila menyaksikan gameplay Lethal Combat.

Senang kata, pendedahan Call of Duty: Lethal Combat boleh dikatakan sebagai laporan yang sahih kerana ia telah didedahkan oleh sebuah organisasi yang dikenali. Namun, penggunaan latar belakang Perang Vietnam masih lagi boleh dikatakan sebagai khabar angin yang belum boleh disahkan.

Apa-apa pun, kami ingin mendengar apa pandangan anda mengenai laporan ini. Adakah membawakan siri Call of Duty “kembali ke bumi” adalah suatu tindakan yang bijak? Atau anda lebih gemar bermain jetpack dan melompat-lompat di angkasa?

Comments

comments