Sudahkah anda menonton filem Assassin’s Creed di pawagam? Selepas menontonnya, ini adalah pandangan penulis terbaru JomGaming mengenai filem ini.


Nota Editor: Kali ini, JomGaming bawakan Intan Mawarni, penulis baru di JomGaming. Seorang peminat game-game eksklusif PlayStation seperti francais Uncharted, The Last of Us, dan InFamous – beliau akan menulis tentang pengalaman beliau menonton filem Assassin’s Creed. Tanpa membuang masa, jom kita baca review beliau. Hati-hati,

SPOILER DI HADAPAN!


Assassin’s Creed merupakan filem adaptasi daripada video game yang menggunakan nama sama ditayangkan pada 22 Disember 2016. Filem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat seperti Michael Fassbender (X-Men: Apocalypse, Shame), Marion Cotillard (Inception, The Dark Knight Rises) dan Jeremy Irons (Batman v Superman: Dawn of Justice) dan diarahkan oleh Justin Kurtzel.

Secara jujurnya, apabila Ubisoft mengumumkan mereka akan membikin filem ini pada 2011, saya sungguh teruja kerana Assassin’s Creed adalah antara game kegemaran saya. Lebih-lebih lagi, pada tahun 2012, Michael Fassbender akan membintangi filem ini dan kemudian saya juga dapat tahu bahawa Fassbender adalah salah satu produser untuk filem ini.

Saya mulalah memikirkan bagaimana mereka mahu membikin filem ini terutamanya dari segi jalan cerita kerana Assassin’s Creed antara game yang mementingkan jalan cerita sejak dari permulaan game pertama. Pada tahun 2015, filem ini akan memilih jalan cerita yang baru iaitu filem ini berlatarbelakangkan semasa ‘Spanish Inquisition’. Jalan cerita ini berbeza seperti apa yang dalam game (kisah Desmond bersama moyang-moyangnya; Altair, Ezio dan Connor).

Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Callum Lynch yang mempunyai darah keturunan seorang Assassin, Aguilar yang wujud pada abad ke-15. Dengan teknologi Animus, Callum dapat melihat sendiri pertarungan antara Assassins dan Templar. Pada minggu lepas, saya baru berpeluang untuk menonton filem ini di pawagam.

Jadi, SPOILER BESAR di hadapan!

Pada permulaan cerita ini, muzik rock yang kuat membuka tirai cerita ini ditemani oleh burung helang (antara trademark Assassin’s Creed) yang terbang mengikuti protagonis utama, Callum Lynch semasa kecil. Namun, hidup Callum menjadi haru biru apabila dia pulang ke rumah melihat ibunya dibunuh oleh bapanya sendiri dengan menggunakan “hidden blade”.

Tanpa memberikan apa-apa penjelasan kepada Callum yang masih lagi dalam setahun jagung, bapa dia mengarahkan Callum untuk melarikan diri dari rumah kerana pihak berkuasa sudah tiba di rumah mereka. Semasa pihak berkuasa itu tiba di pintu rumah keluarga Callum, rantai yang bersimbolkan Templar disangkutkan di cermin pandangan belakang kereta.

Kemudian, penonton akan melihat Callum Lynch pada masa kini dan juga sudah dewasa yang disabitkan hukuman mati kerana membunuh tetapi Callum tidak sempat menemui ajal dia, dia tersedar dalam satu bangunan yang lain iaitu di Abstergo Foundation (tempat Templar semasa zaman moden).

Sophia Rikkin menerangkan apa yang sedang berlaku kepada Callum.

Seorang saintis bernama Sophia Rikkin bersama bapanya Allan Rikkin merupakan bos dalam Abstergo Foundation menerangkan kepada Callum bahawa dia tergolong dalam keturunan Assassin bernama Aguilar dan dengan menggunakan mesin Animus, mereka boleh mengetahui lokasi terperinci Apple of Eden dengan menyelusuri memori Aguilar ini. Dalam filem ini, Sophia mahukan Apple of Eden untuk menghentikan keganasan supaya tiada lagi perang dan kesengsaraan dalam dunia.

Apple of Eden, seperti semua peminat Assassin’s Creed tahu sejenis senjata yang mempunyai kuasa luar biasa datang dari sebelum kedatangan manusia dikejar oleh kedua-dua pihak Assassin dan juga Templar.

Apple of Eden ini lagi terkenal daripada epal biasa dalam Assassin’s Creed.

Mesin Animus yang digunakan dalam filem juga berbeza berbanding dalam game asal. Dalam filem ini, Callum dipakaikan hidden blade kedua-dua belah lengan dan kemudian ada satu lengan besar memegang pinggang Callum supaya Callum boleh melalui memori Aguilar seperti mesin Animus biasa dalam game. Bagi saya, saya tidak meminati rekabentuk Animus baru kerana saya rasakan rekaan Animus baru itu seperti pelik dan tidak diperlukan.

Mesin Animus dalam game Assassin’s Creed (2007)
Mesin Animus dalam filem, Assassin’s Creed (2016)

Perjalanan Callum dalam mesin Animus amat diperincikan dalam filem ini. Kebanyakan babak dalam filem ini berlaku dalam Animus. Seperti biasa, Assassin’s Creed tidak lengkap tanpa gaya parkour. Pelbagai gaya parkour dan gaya-gaya assassination sama dalam game juga ditampilkan dalam aksi filem ini.

Aksi parkour yang menjadi ikon Assassin’s Creed.

Aksi dalam filem ini sangatlah hebat. Saya memang suka aksi digunakan dalam filem ini dan aksi digunakan tampak realistik. Tambahan pula, sinematografi semasa babak-babak aksi juga amatlah cantik. Kita boleh lihat seluruh Sepanyol dalam abad ke-15. Filem ini juga tidak lupa lagi satu trademark Assassin’s Creed terkenal iaitu ‘leap of faith’.

Selepas Callum menggunakan Animus untuk pertama kali, Callum mula dapat kesan sampingan dari mesin Animus itu iaitu dipanggil sebagai ‘bleeding effect’ iaitu Callum merasakan memori Aguilar bersatu bersama dunia sebenar Callum. Callum berasa tidak keruan dan dia mempunyai kebolehan sama seperti Aguilar, moyang dia. Ini antara benda yang paling saya tak suka tentang filem ini kerana tidak mengikut jangka masa betul untuk bleeding effect seperti dalam game. Di dalam game, Desmond juga dapat bleeding effect selepas dia menggunakan Animus untuk terlalu lama.

Dalam bangunan Abstergo Foundation, terdapat juga banyak Assassin-Assassin yang lain ditangkap dan disimpan. Namun, filem itu tidak menjelaskan apa tujuan Assassin-Assassin yang disimpan itu berada dalam fasiliti Abstergo membuatkan saya rasa tidak puas hati. Mungkin Assassin itu disimpan untuk kajian Animus? Cari Apple of Eden? Memang tiada klu langsung pasal Assassin lain yang disimpan dalam bangunan Abstergo itu. Assassin dalam fasiliti itu berfungsi untuk mengingatkan perjuangan Assassin sebenar supaya tidak memberikan Apple of Eden kepada Sophia dan Alan Rikkin. Namun, Callum masih lagi tidak tahu yang sedang dipergunakan oleh Templar.

Moussa dan Joseph antara Assassin yang ditangkap oleh Abstergo.

Kemuncak cerita ini apabila Callum mendapat tahu lokasi Apple of Eden melalui memori Aguilar dan Templar berjaya mendapat tahu lokasi dalam dunia sebenar lalu mereka berjaya memperolehi Apple itu setelah 7 abad berada di dalam tangan Aguilar. Semasa dalam memori Aguilar selepas Callum berjaya dapat lokasi Apple of Eden, Callum dikelilingi oleh Assassin-Assasin pada abad ke-15 termasuk bayangan ibu dan ayah dia berdiri di sebelah Callum. Melalui bayangan dalam Animus, Callum akhirnya faham akan perjuangan Assassin sebenar tetapi semuanya sudah terlambat apabila Sophia dan Alan sudah meninggalkan premis Abstergo untuk mendapatkan Apple.

Pada penamat filem ini, Callum akhirnya memahami perjuangan Assassin sebenar apabila salah satu memori Aguilar memberikan dia satu bayangan Assassin berdiri dalam satu bulatan yang sama termasuk ibu bapa dia. Dalam masa yang sama, Assassin di dalam Abstergo Foundation dapat melawan sekuriti Abstergo dan berjaya meloloskan diri bersama-sama Callum dari bangunan Abstergo untuk mendapatkan kembali Apple of Eden. Semasa babak meloloskan diri daripada premis Abstergo ini, saya hairan bagaimana Callum sungguh cepat mendapat kebolehan moyang dia sebagai Assassin.

Callum bersama Assassin lain cuba melawan sekuriti Abstergo.

Apabila Assassin’s Creed ditayangkan, filem ini mendapat 17% dalam skor Tomatometer. Saya antara peminat yang mempunyai jangkaan tinggi bahawa filem ini akan memecah sumpahan buruk filem video game tapi jangkaan saya meleset.

Saya amat kecewa dengan jalan cerita filem ini kerana Ubisoft sendiri bekerjasama untuk menjayakan filem ini tetapi tidak menepati initipati Assassin’s Creed sebenar langsung. Lebih-lebih lagi, filem ini tidak ada dialog banyak untuk menerangkan cerita. Lakonan hebat Michael Fassbender dan Marion Cotillard juga tidak dapat menyelamatkan filem ini. Watak-watak dalam filem ini seperti tin kosong kerana tiada penjelasan yang betul.

Filem ini cuma 80% aksi dan 20% diselitkan dengan lagu-lagu rock dan rap semasa babak aksi. Filem ini sesuai untuk anda jika anda suka lihat babak aksi yang panjang dan tidak kisah akan jalan cerita filem. Kesimpulannya, filem ini tiada jiwa Assassin’s Creed sebenar dan dibazirkan dengan babak aksi terlalu panjang serta tidak jelaskan matlamat sebenar kedua-dua belah pihak Assassin dan Templar.

Comments

comments