Kemarau berpanjangan akhirnya tamat!

Komuniti Battlefield di platform PlayStation antara Malaysia dan Indonesia sememangnya meriah. Setiap siri Battlefield yang keluar, kedua-dua komuniti negara berjiran ini tidak lekang dengan clan match bagi menghangatkan lagi friendly-rivalry ini.

Semasa era Battlefield: Bad Company 2 dan Battlefield 3, Unit Tindakan Khas (UTK), Harimau Malaya Regiment (HMR) dan Skuad Gagak Hitam (SGH) adalah antara beberapa clan Battlefield dari Malaysia yang gah memacu kegemilangan clan tanah air ke atas clan-clan dari Indonesia. Ia sememangnya satu zaman keemasan.

JomBaca: Apa Kita Boleh Belajar Dari BF4 [MAS]?

Memasuki era Battlefield 4, pendekatan yang berbeza digunakan oleh kedua-dua komuniti dalam meneruskan lagi saingan clan match serantau. Masing-masing negara menggabungkan clan-clan tempatan untuk mewujudkan satu ‘pasukan kebangsaan’. Perseteruan antara MAS-INDO mula tercipta.

Namun, gabungan clan-clan ini bukannya mudah. Di sinilah bermulanya zaman yang agak suram bagi pemain-pemain Battlefield dari Malaysia. Setiap clan match yang diadakan sepanjang Battlefield 4 sehingga ke Battlefield 1, pasukan Malaysia tidak mencatatkan sebarang kemenangan. Indonesia mendominasi pada ketika itu.

Trivia: turutan siri game Battlefield — Battlefield: Bad Company 2, Battlefield 3, Battlefield 4, Battlefield 1.

Antara clan match yang paling diingati oleh penulis sendiri adalah 11 September 2015. Dua game pertama telah berpihak kepada pasukan Garuda, tetapi pasukan Harimau bangkit dalam game ketiga dan keempat untuk menyamakan kedudukan. Namun, kata orang, tiada rezeki, Malaysia tewas dalam game kelima dengan berbeza 7 tiket sahaja. Cukup tipis.

JomBaca: BF4: Kebangkitan Harimau Disekat Garuda!

Pada awal era Battlefield 1, gabungan clan mencipta ‘pasukan kebangsaan’ ini masih diteruskan. Seperti siri sebelumnya, para pemain Malaysia masih tidak mampu untuk mematahkan sayap Garuda.

Maka, komuniti Malaysia membuat keputusan untuk berehat dahulu daripada ‘pasukan kebangsaan’ dan cuba mengatur strategi dari dalam clan-clan masing-masing dan cuba mencabar ego Army of Knives (KNIV), clan yang menjadi tunjang utama dalam ‘pasukan kebangsaan’ Indonesia.

Jun tahun lalu, Retired Extremely Dangerous (RED) yang terlebih dahulu ke hadapan untuk mencabar KNIV. Walaupun RED membariskan pemain yang mantap dan percaturan strategi yang lebih menyeluruh, ia masih belum mampu mencari titik kelemahan KNIV. RED tumpas 3-1 kepada KNIV.

Setelah berbulan-bulan mengkaji corak permainan KNIV, serta bertukar-tukar pendapat bersama RED, kini giliran NAG4, sebuah clan Malaysia yang boleh dikatakan baru namun bukan calang-calang, pula untuk memanggil semula KNIV masuk ke gelanggang Battlefield 1.

Mengetahui bahawa clan match kali ini mungkin adalah yang terakhir untuk Battlefield 1 sebelum Battlefield baru dikeluarkan pada Oktober nanti, NAG4 turun ke medan perang dengan semangat yang berkobar untuk menebus segala maruah negara yang tercalar sejak Battlefield 4.

Game pertama di map St Quentin Scar, NAG4 menunjukkan langkah yang kurang meyakinkan. Mereka tunduk kepada KNIV dalam game pembukaan, dan pada ketika itu, ramai yang menjangkakan episod yang sama akan berulang, zaman kegelapan untuk clan Malaysia kelihatan seperti berpanjangan.

Para pemain NAG4 menyisipkan semangat pantang menyerah dalam game kedua di map yang sama. Ini adalah titik kebangkitan kepada pasukan ini. NAG4 menyamakan kedudukan dengan 1-1.

Game ketiga dan keempat, KNIV semestinya harus risau kerana map yang bakal dimainkan adalah map kegemaran NAG4, iaitu Amiens. NAG4 cukup terkenal dengan gelaran Raja Amiens kerana tidak kiralah bertarung dalam clan match tempatan ataupun antarabangsa, NAG4 tidak pernah kalah dalam map ini. Tidak pernah kalah.

Dan seperti yang dijangka, NAG4 terus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka di Amiens dalam game ketiga dan keempat, seterusnya menamatkan kemarau kemenangan clan dari Malaysia untuk menang ke atas clan gergasi dari Indonesia ini.

4 Mei 2018 akan diingat oleh komuniti Battlefield Malaysia, khususnya para pemain NAG4 sebagai tarikh keramat menamatkan kemarau ini. NAG4 berjaya menumbangkan KNIV dengan keputusan 3-1.

Korang boleh saksikan siaran ulangan untuk livestream clan match antara NAG4 dan KNIV ini dalam kedua-dua perspektif (pemain NAG4 atau pemain KNIV) di bawah:

Tahniah kami ucapkan kepada NAG4 dan syabas juga kepada KNIV kerana memberikan saingan yang cukup sengit.

Apa pula kisah yang akan dicatatkan oleh komuniti dari kedua-dua buah negara ini dalam Battlefield akan datang nanti. Pastinya ia cukup menarik memandangkan kemungkinan besar DICE akan turut memfokuskan kepada scene esport Battlefield selepas memperkenalkan mode Incursions dalam Battlefield 1.

Battlefield 2018 akan didedahkan kepada umum pada Jun ini semasa acara EA Play dan akan dilancarkan pada Oktober.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.