Ketawa bersama, menangis bersama.

A Way Out merupakan sebuah game bergenre co-op adventure yang dibangunkan oleh Hazelight Studios dan diterbitkan oleh Electronic Arts di bawah EA Originals, sebuah program yang didanai oleh EA bagi membantu membangunkan game-game indie. Game ini adalah game kedua ciptaan Josef Fares selepas Brothers: A Tale of Two Sons.

A Way Out mengisahkan dua lelaki, Leo dan Vincent, yang bertemu di dalam penjara. Selepas beberapa kejadian di dalamnya, mereka berkenalan, dan seterusnya memutuskan untuk bekerjasama dalam melarikan diri dari penjara tersebut.

Kedua-dua mereka mempunyai motif masing-masing tentang mengapa mereka perlu keluar dari situ. A Way Out akan membawa pemain dari perancangan mereka untuk melakukan ‘prison break’ dan kemudian menyelami pengembaraan mereka selepas itu.

Berjayakah Leo dan Vincent keluar dari penjara itu dan seterusnya berjaya menambat hati penulis melalui game ini? Jom kita baca – A Way Out: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Kelainan Yang Istimewa

Secara peribadi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penulis semakin kurang meminati game-game yang bersifat single-player story campaign. Bukan disebabkan game-game tersebut kurang berkualiti atau tidak menarik, cumanya ia hanya perubahan yang ada dalam diri penulis secara peribadi.

Apabila bermain game single-player, penulis mula cepat bosan walaupun penulis tahu bahawa game itu memang membawakan penceritaan yang mantap, gameplay yang baik. Beberapa siri Assassin’s Creed, Horizon Zero Dawn, Watch Dogs 2, Nier: Automata dan Tomb Raider adalah beberapa game yang penulis hanya main separuh jalan – walaupun ia sememangnya sebuah game yang bagus.

Salah satu faktor yang penulis rasakan perubahan kepada diri ini adalah disebabkan penulis lebih gemar bermain game-game multiplayer seperti siri Battlefield, Rainbow Six Siege dan Fortnite yang boleh berinteraksi bersama rakan-rakan. Penulis merasa lebih seronok apabila bermain game dalam masa sama dapat berkomunikasi semasa dalam game serta mungkin berbual-bual tentang perkara di luar game bersama rakan.

Di sinilah yang mana penulis rasa A Way Out telah mengisi dilema yang melanda penulis sejak beberapa tahun ini. A Way Out membawa penulis menyelami kembali sebuah game yang fokus kepada story, dan membuat penulis tidak cepat bosan kerana menikmatinya bersama rakan secara co-op.

Gameplay Yang Sangat Unik

Penulis ingin memperkenalkan A Way Out kepada pembaca dengan mengatakan bahawa game ini adalah sangat indah dari pelbagai aspek. Pertama sekali, game ini menyajikan sebuah gameplay yang sangat unik, dan penulis berani katakan yang ia adalah yang pertama penulis mainkan sebuah game sebegini.

Apa yang paling menarik tentang game ini ialah ia merupakah sebuah game co-op, dan ia bukan seperti game-game co-op yang pernah korang mainkan di luar sana. Ia sebuah game co-op yang sentiasa memaparkan splitscreen semasa gameplay, tidak kira sama ada korang bermain secara online mahupun offline (local co-op).

Penulis ingin tegaskan bahawa game ini adalah sentiasa perlu dimainkan secara berdua, tidak boleh kurang, tidak boleh lebih. Kita tidak boleh mainkan game ini sama sekali secara solo, senang kata, tiada mode single-player.

Mungkin ada yang katakan, “Aduh! Susahlah macam itu, tak boleh nak main single-player”. Tidak membenarkan single-player dan sentiasa perlu co-op dengan dua pemain – itulah kekuatan game ini. Kata orang putih, that’s the point.

Interaksi, hubungan dan komunikasi antara dua pemain adalah tema utama dalam game ini. Ia dikuatkan lagi dengan permainan splitscreen yang cukup cantik.

A Way Out telah menggabungkan interaksi antara dua pemain, paparan splitscreen, naratif yang mantap serta gameplay co-op dalam satu persekitaran sinematik yang sungguh istimewa. Setiap babak dimainkan dengan saiz pembahagian splitscreen yang berbeza, dan setiap saiz itu mempunyai makna-makna tertentu untuk bermain dengan perasaan pemain.

Permainan Kamera Yang Sinematik

Terdapat banyak babak dalam game ini yang menyajikan sudut kamera yang membuatkan pemain tidak senang duduk, cukup tegang dalam aksi-aksinya yang tersendiri. Kebanyakan babak yang tegang itu kadang-kala sebenarnya tidak pun susah untuk diselesaikan, yang mana ia hanya perlu menekan butang-butang yang mudah, namun disebabkan permainan sudut kamera yang bijak, membuat kami terasa benar-benar dalam situasi itu, dan tidak mahu gagal.

Eratkan Hubungan

Apa yang ingin penulis katakan ini mungkin kedengaran agak klise. Tetapi, percayalah, A Way Out adalah sebuah game yang mampu mengeratkan antara dua pemain dalam caranya yang agak unik. Penulis sangat, sangat mengesyorkan game ini kepada pasangan suami isteri, pasangan kekasih, ahli-ahli keluarga, sahabat handai atau mana-mana pemain yang ingin mengeratkan hubungan sesama mereka.

Tapi korang kena ingatlah, game ini merupakan game yang mempunyai rating 18 tahun ke atas – sering menggunakan kata-kata kesat dan ada beberapa babak yang ganas – jadi, pastikan pilih pemain kedua yang cukup umur.

Memerlukan Antara Satu Sama Lain

Penulis berani janji, pada akhir permainan game ini, korang akan duduk terdiam, memikirkan apa yang korang berdua telah lalui bersama dalam game ini. Apa yang membuatkan game ini amat menarik adalah ia membuatkan dua pemain ini bergantung antara satu sama lain, dan kita boleh rasainya dengan perasaan yang mendalam.

Ada banyak gameplay di mana dua pemain memerlukan pertolongan masing-masing, perlu berkomunikasi bagi mencapai kata putus yang diingini. Ada gameplay yang perlu menekan butang serentak, dan kegagalan melakukannya dengan baik akan membuatkan babak itu tidak berjaya.

Umpama Menonton Filem

Selain itu, game ini sebenarnya tidak menampilkan gameplay-gameplay yang berat. Dalam kata lain, kita lebih banyak menghabishkan game ini dengan melayan babak-babak sinematik berbanding gameplay-gameplay lain – dan itulah satu lagi kekuatan game ini.

Bermain game ini umpama menonton sebuah filem yang panjang, di sebalik hanya menonton sahaja, kita diberikan kuasa untuk memilih jalan cerita yang bagaimana untuk disampaikan – membuat keputusan bersama-sama dengan pemain kedua dari awal hingga akhir.

A Way Out memberikan kita beberapa pilihan pada pelbagai situasi. Sebagai contoh, ada babak yang kita perlu pilih, namun kedua-dua pilihan itu adalah pilihan yang jahat. Jadi, dari situ kita akan lebih mengenali pasangan/rakan/keluarga kita, yang mana apabila dua situasi jahat terpaksa dilakukan, kita boleh diberi peluang untuk memilih jahat yang kurang (lesser evil).

Mini Game

Menambahkan rencah hiburan ke dalam A Way Out, ia menyajikan kepada para pemain dengan pelbagai mini game sampingan yang menarik. Dalam meneruskan perjalanan dalam sesebuah objektif, ada saja mini game menyeronokkan yang boleh dimainkan bersama.

Antaranya seperti bermain piano dan banjo dengan konsep seperti Guitar Hero, bermain dart, bermain bola keranjang, lawan siapa yang paling lama boleh buat ‘wheelie’ dengan kerusi roda dan macam-macam lagi yang kebanyakannya adalah lucu untuk dimainkan bersama.

Ada beberapa babak di mana seorang pemain perlu bercakap dengan seorang watak lain (non-playable character – NPC), dan seorang lain pemain boleh berjalan-jalan di kawasan sekitar dan bermain mini game.

Pengakhiran Yang Cukup Memberi Kesan

Pengakhiran (ending) A Way Out adalah sebuah penamat yang penulis tidak jangkakan mampu memberi kesan sebegini rupa apabila memulakannya. Penulis tidak mahu bercerita penjang tentang ending ini kerana tidak mahu memberikan spoiler, cukuplah sekadar korang tahu penulis dan rakan kelu tidak terkata apabila menghabiskan game ini.

Ia sebenarnya adalah sebuah game yang pendek, yang mana kita boleh habiskannya 5 atau 6 jam sahaja. Dan itulah yang mengejutkan kami, bagaimana sebuah game yang sependek ini mampu memberikan kesan yang mendalam kepada pemain.

Sangat Pelik Daripada EA

Seperti yang kami telah laporkan sebelum ini, A Way Out boleh bermain co-op secara online, namun pemain kedua tidak perlu pun untuk membeli satu lagi salinan untuk main bersama. Senang kata, satu salinan sahaja diperlukan untuk dua pemain bermain bersama secara online.

Konsepnya amat mudah. Sesiapa sahaja boleh muat-turun versi demo A Way Out secara percuma. Namun, untuk dibenarkan bermain versi demo itu, ia perlu dimainkan bersama (di-invite) pemain yang membeli game penuh. Bermaksud, versi demo itu hanya dibenarkan mengakses game ini dengan adanya rakan yang membeli game itu.

Maka, pemain yang mempunyai versi game penuh itu boleh meng-invite dan bermain dengan sesiapa sahaja yang telah memuat-turun versi demo percuma itu. Sesuatu yang penulis masih lagi sukar untuk percaya yang mana ia datang dari sebuah penerbit game yang terkenal dengan sifat ‘tamak’nya.

Apa Yang Kurang?

Bercakap tentang apakah kekurangan game ini, ia amat sukar untuk penulis nyatakan. Ia adalah sebuah game yang dibikin dengan cukup baik dalam pelbagai aspek.

Namun, tiada apa yang sempurna dalam dunia ini, ya tak? Kalau penulis terpaksa nyatakan satu kekurangan, ia mungkin permainan menembak (gunplay) dan kesan bunyi senjata api dalam game ini yang agak kurang memuaskan. Gunplay dalam game ini terasa seperti gameplay yang tidak digilap dengan baik dan kesan bunyi senjata api pula kedengaran seperti plastik.

Tetapi ia bukan sesuatu isu yang besar. No big deal, memandangkan ia cumalah gameplay sampingan sahaja dalam game yang lebih mengutamakan penceritaan kisahnya. Babak-babak dan aksi-aksi menembak juga tidak banyak, dan hanya memenuhi secebis sahaja daripada jumlah keseluruhan permainan.

Keputusan – Boleh Beli or Boleh Blah!?

Sebuah game yang hanya berharga RM99, ia adalah sebuah game yang sangat berbaloi untuk dimainkan. Sekiranya korang mahukan sebuah game yang fokus kepada jalan cerita yang mantap serta gameplay yang agak ringan, menikmatinya bersama pemain kedua korang – ini adalah sebuah game yang BOLEH BELI untuk korang.

Namun, sekiranya korang mahukan game yang menawarkan jalan cerita yang lebih kompleks, gameplay yang lebih berat – ini sememangnya game BOLEH BLAH untuk korang. Perlu diingat juga, kalau korang tiada teman untuk pemain kedua, tidak perlulah dapatkan game ini kerana ia tidak boleh dimainkan secara single-player.

+ Menikmati story yang mantap bersama teman
+ Permainan kamera yang memberikan kesan sinematik yang cantik dan tegang
+ Mengeratkan hubungan antara dua pemain
+ Pelbagai mini game menyeronokkan
+ Paparan splitscreen menghiburkan
+ Gameplay co-op yang sangat unik
+ Boleh bermain dengan mana-mana pemain yang ada versi demo
+ Ending yang memberi kesan mendalam

Kesan bunyi yang kurang baik
Gunplay yang tidak memuaskan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.