Setiap keputusan terletak di tangan anda.

Adakah anda rasa kita bakal hidup dengan android suatu hari nanti?

Game terbaru Quantic Dream, Detroit: Become Human berjaya merancakkan kembali jenis game yang berbentuk naratif bukan linear dengan penceritaan mendalam antara manusia dan android.

JomBaca: Detroit: Become Human: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Sukakan game di mana anda boleh main seperti anda mengarang karya teragung yang tersendiri? Inilah 8 game naratif berat berdasarkan keputusan anda yang perlu ada main.

1. Life is Strange

Anda akan pasti menangis bila sampai bab terakhir game ini. Saya berbelah-bahagi *sob sob*

Jika Detroit: Become Human melihat ke 20 tahun akan datang di bandar Detroit, Life is Strange mengisahkan seorang pelajar bernama Max Caulfield mempelajari seni foto di Blackwell Academy dalam perspektif berbeza. Selepas kejadian ribut dahsyat melanda Arcadia Bay, Max dikurniakan dengan kuasa luar biasa yang membolehkan dia mengawal masa sekaligus mempengaruhi hubungan Max di antara karakter-karakter lain terutamanya terhadap rakan baiknya, Chloe Price.

Antara game yang mempunyai penceritaan terbaik, Life is Strange penuh dengan pilihan emosional yang semestinya meruntun jiwa anda. Untuk pengetahuan anda, Life is Strange 2 sedang dalam pembangunan! Kalau anda mahu mengetahui lagi jalan cerita di Arcadia Bay, anda boleh bermain prekuelnya menerusi perspektif Chloe bertajuk Life is Strange: Before The Storm.

2. Telltale’s The Walking Dead

Clementine yang dahulu, bukan Clementine yang sama seperti sekarang.

Diinspirasikan dari komik terkenal yang juga melancarkan siri TV terkenal, The Walking Dead menampilkan sekumpulan manusia cuba melangsungkan hidup dalam dunia penuh dengan zombi. Dengan naratif hampir sama seperti Kara dan Alice dalam Detroit: Become Human, musim pertama The Walking Dead mengikut jalan cerita Lee Everett yang disabitkan kesalahan membunuh tanpa sengaja berjumpa dengan seorang budak kecil bernama Clementine dan dia harus melindungi Clementine dari sebarang serangan zombi.

Game berbentuk episodik ini sudah dibangunkan selama tiga musim dan dilancarkan dalam satu koleksi gempak berjudul The Walking Dead Collection sebelum ketibaan musim keempat dan musim terakhir The Walking Dead menampilkan Clementine sudah meningkat dewasa mengharungi halangan mencabar.

3. Until Dawn

Omak kau opocot!

Kalau anda terperanjat ketika main bab tertentu di dalam Detroit: Become Human, pastikan anda bersedia untuk jumpscare hantu pula. Dalam Until Dawn, sekumpulan remaja kaya sedang berparti di rumah tersorok dalam hutan pada musim sejuk digemparkan kejadian seram di mana sebuah entiti aktif memburu manusia jauh atas gunung.

Game ini mengambil apa yang anda suka tentang filem seram dan dijadikan sebagai pengalaman sinematik interaktif yang juga dibintangi oleh pelakon terkenal seperti Hayden Panettiere, Rami Malek dan Brett Dalton. Anda bertanggungjawab untuk hidup semua karakter sama ada mereka hidup atau dimakan hidup-hidup oleh entiti berkenaan.

JomBaca: Until Dawn: Boleh Beli or Boleh Blah!?

4. Dreamfall Chapters

Selami perasaan Zoe dan Kian dalam dua dunia berbeza

Antara game yang berbentuk episodik, Dreamfall Chapters merupakan game ketiga yang memberi kesinambungan dari dua game pertama: The Longest Journey dan Dreamfall: The Longest Journey. Game 3D action-adventure yang berlatarbelakangkan dua dimensi berbeza iaitu dunia moden cyberpunk, Stark dan dunia penuh magik, Arcadia.

Sama seperti Detroit: Become Human, pemain akan melayani jalan cerita melalui dua karakter, Zoë berupaya untuk merentas ke dalam dunia berbeza antara Stark dan Arcadia dan Kian Alvane, seorang askar Azadi yang dikhianati oleh sekutu sendiri dalam Arcadia. Pemain berdepan dengan keputusan dan pilihan yang dapat mempengaruhi jalan cerita serta menghadapi cabaran teka-teki selari dengan jalan cerita game ini.

5. A Way Out

Game ini menampilkan penggunaan kamera yang sangat lancar ala-ala filem untuk melakukan transisi lancar antara Leo dan Vincent.

Detroit: Become Human membolehkan anda kawal tiga karakter berbeza yang akan bertembung sama satu lain dalam beberapa detik penting dalam game itu tetapi dalam A Way Out, anda wajib bermain secara co-op sama ada offline atau online sebagai Leo dan Vincent untuk meloloskan diri dari penjara. Game ini tampil dengan nafas baru dalam drama interaktif yang fokus dengan penceritaan keakraban antara Leo dan Vincent serta menampilkan gameplay unik yang bergantung kepada pilihan dua pemain.

Anda mesti tertanya-tanya, “kalau wajib main dua orang, wajib kena ada dua salinan ke?”  Jangan risau, anda hanya perlukan satu salinan sahaja untuk layan game sinematik gempak ini.

JomBaca: A Way Out: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Selain lima game di atas, anda juga boleh layan game Quantic Dream sebelum ini yang  membentuk Detroit: Become Human seperti Beyond: Two Souls, Heavy Rain dan Fahrenheit: Indigo Prophecy.

6. Beyond: Two Souls

Kuasa telekinesis Jodie sungguh kuat sehingga dia berupaya untuk mengawal minda manusia

Game ini mengisahkan Jodie Holmes yang mempunyai kuasa telekinesis apabila dia berhubung dengan entiti yang selalu berada di sisinya sejak dia kecil lagi yang bernama Aiden. Beyond: Two Souls juga diserikan dengan pelakon Hollywood terkenal memegang watak-watak utama seperti Ellen Page menggalas watak Jodie Holmes dan Willem Dafoe sebagai Profesor Nathan Hawkins.

7. Heavy Rain

Tekan X untuk Jason

Siapa lagi tak kenal Heavy Rain yang menyampaikan empat karakter: Ethan Mars, seorang ayah di mana anaknya diculik oleh Origami Killer; seorang ejen FBI, Norman Jayden; seorang wartawan, Madison Paige dan seorang penyiasat persendirian, Scott Shelby dalam perjalanan berbeza untuk memburu Origami Killer aktif semasa musim hujan yang menculik dan membunuh kanak-kanak dengan meninggalkan mereka lemas dalam takungan air hujan. Bagi yang membeli Digital Deluxe Edition untuk Detroit: Become Human, anda berpeluang untuk bermain game ini kerana Heavy Rain didatangkan sekali dalam edisi itu.

8. Fahrenheit: Indigo Prophecy

Fahrenheit merupakan game yang mempunyai pembukaan cerita paling gempak saya pernah lihat

Antara game yang melonjakkan nama Quantic Dream, Fahrenheit (Indigo Prophecy di Amerika Syarikat) menyampaikan cerita tentang Lucas Kane membunuh lelaki tanpa sengaja dalam sebuah restoran dek kerana dia dirasuk oleh elemen ghaib secara tiba-tiba. Namun, pembunuhan itu melancarkan satu penyiasatan yang melibatkan Leftenen Carla Valenti dan Sarjan Tyler Miles dari NYPD.

Dengan terciptanya lebih banyak game yang fokus kepada penceritaan dan karakter kompleks, bagi pendapat anda, adakah cerita mendalam menjadi aspek penting dalam sesebuah game atau pembangun game hanya perlu fokus kepada gameplay sahaja? Kongsikan pendapat anda bersama kami!

Comments

comments