Pasukan PES Malaysia sudah bersedia untuk menggegarkan Asia di Bangkok, Thailand nanti!

Selepas mengadakan 4 lokasi pusingan kelayakan di seluruh negara, Grand Finals PES 2018 2v2 Tournament peringkat Malaysia telah diadakan di Nagaming pada hari ini.

Tahniah dan syabas kami ucapkan kepada Degasa CF (Feezness & Checkamin) dan Double Agent (Norameen & Amat) kerana dinobatkan sebagai dua pasangan PES terbaik negara – yang mana kedua-dua pasangan ini akan mewakili dan membawa nama Malaysia ke peringkat Asia yang bakal diadakan di Bangkok, Thailand pada 21 Januari 2018. Kedua-dua pasangan negara ini akan diterbangkan ke sana, ditaja sepenuhnya segala tiket penerbangan dan tempat penginapan oleh Konami.

Setelah seharian melalui perlawanan di peringkat kumpulan dan pusingan kalah mati, akhirnya tibalah kepada dua perlawanan kemuncak di peringkat separuh akhir – yang mana 2 pemenang daripada peringkat ini akan layak secara automatik ke peringkat Asia.

Degasa CF telah berjaya mengejutkan pasukan pilihan utama dalam pertandingan ini, Nest A, selepas menang tipis dengan keputusan 4-5 yang penuh mendebarkan. Di satu lagi perlawanan separuh akhir, Double Agent berjaya mengekang kemaraan pasukan yang mendapat perhatian dalam Grand Finals ini, iaitu Lone Ranger, kerana satu-satunya pasangan yang menggunakan Liverpool, dalam masa semua pasangan lain menggunakan FC Barcelona.

Sekiranya korang tertanya mengapa hanya Liverpool dan Barcelona digunakan dalam pertandingan ini, sini ada jawapannya.

Di perlawanan akhir, yang mana kedua-dua finalis telah layak ke peringkat Asia, Double Agent telah membuktikan bahawa mereka adalah yang terbaik daripada yang terbaik dengan menumbangkan Degasa CF, 3-1.

Di perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat, Nest A telah menundukkan Lone Ranger juga dengan keputusan 3-1.

Korang boleh buka link ini untuk lihat semua keputusan yang telah dicatat untuk Grands Finals pada hari ini. Korang boleh tonton juga beberapa perlawanan terpilih pada hari ini melalui livestream di sini. Nak tengok pula momen-momen menarik yang riuh-rendah dalam bentuk gambar, korang boleh buka Facebook Album ini.

Sekali lagi, kami ucapkan tahniah dan semoga berjaya kepada Degasa CF dan Double Agent di Bangkok, Thailand nanti. JomGaming mendoakan agar ada berita gembira yang dibawa dari negara Gajah Putih itu sebaik sahaja pulang ke tanah air kelak! Malaysia Boleh!

PES League 2v2 Tournament Asia Finals yang bakal diadakan pada Januari kelak adalah kejohanan berprestij yang dianjurkan oleh Konami di peringkat tertinggi Asia. Ia akan membawakan 16 pasangan (32 pemain) dari 8 negara – iaitu dari Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Malaysia. Baca lagi tentang kejohanan ini di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.