Gamer mana yang tidak kenal Kratos, Ghost of Sparta dan amukannya bagi menuntut bela kematian keluarga yang akhirnya membawa beliau berperang dengan dewa-dewi Greek!?

Selepas peperangan yang berakhir di puncak Olympus, game God of War dan Kratos seperti menemui penamatnya.

Tiba-tiba, pada E3 2016, Sony telah mengumumkan God of War baru bagi platform Playstation! Kini, sudah dua tahun sejak pengumuman tersebut. Pelbagai trailer dan pengumuman telah dibuat dan kita akhirnya menghampiri tarikh pelancaran game ini.

JomBaca: E3 2016: Sony Membuka Tirai di Pentas Orkestra!

Berikut adalah benda-benda korang wajib tahu tentang God of War terbaru!

1. Tarikh Pelancaran Dah Dekat – 20 April 2018!

Pengembaraan baru Kratos akan bermula 20 April ini di platform PlayStation 4. Jangan lepaskan pengalaman bermain game epik ini. Kitorang pun dah menabung sejak God of War diumumkan 2 tahun lalu tau!

2. Kratos Akan Mengembara Di Dalam Dunia Mitos Norse

Game yang dibangunkan oleh Sony Santa Monica ini akan membawa Kratos ke dunia mitos Norse pula, bertahun lamanya selepas game terakhir iaitu God of War: Ascension di PlayStation 3. Di dalam trailer-trailer yang ditayangkan sebelum ini, kita dapat melihat karakter-karakter seperti Jörmungandr dan Sindri and Brok.

Menurut podcast The Lost Pages of Norse Myth yang diinspirasikan game tersebut, mereka juga ada mengacah-acah kehadiran Groa dan suaminya Aurvandil. Watak-watak mitologi Norse seperti Thor dan Odin juga turut disebut.

3. Mitologi Norse dan Greek God of War Wujud Dalam Dunia Yang Sama

Selepas amukannya di dunia mitologi Greek, Kratos pergi membawa diri mencari ketenangan sejauh yang mungkin. Menurut pengarah God of War Cory Barlog, kesemua pantheon ketuhanan wujud di dalam dunia yang sama cuma di lokasi berbeza.

4. Kratos Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang

Game-game God of War terdahulu menampilkan Kratos yang panas-baran dan sentiasa mengamuk angkara dendam. Di dalam God of War baru ini nanti, Kratos masih lagi keras perilakunya, tetapi beliau kini lebih matang dalam mengawal amarah bagi melayan anaknya, Atreus!

God of War nanti akan mengikuti Kratos dan anaknya Atreus sambil mereka mengembara merentasi dunia Scandinavia. Sepanjang perjalanan tersebut, Kratos kelihatan seperti cuba mengajar anaknya bagaimana untuk hidup di dalam dunia dipenuhi keganasan.

5. Tiada Lagi Libasan Pasangan Pedang Keramat Kratos!

Pasangan pedang Blades of Chaos/Athena yang dirantai ke lengan Kratos sebagai tanda soldadu Ares, God of War yang asal – kini tiada. Sebaliknya, ia diganti dengan kapak bernama Leviathan Axe. Kapak mistik ini ditempa oleh adik-beradik Dwarf, Sindri and Brok bagi mengembalikan keseimbangan alam.

Pertukaran daripada libasan pantas pasangan pedang ke hayunan kapak semestinya merubah mechanics permainan God of War yang selama ini terkenal cukup padat dan mencemaskan. Kini, hayunan kapak yang boleh dibaling dan dipanggil kembali ala Mjolnir, tukul Thor menjadikan mechanics gameplay God of War lebih perlahan dan terkawal.

6. Atreus, Anak Kratos Juga Boleh Berperang Bersama!

Perhubungan antara Kratos dan Atreus adalah penting dalam penceritaan game God of War. Atreus akan berperang bersama Kratos menggunakan busur dan panah serta kuasa magik yang dimilikinya!

Atreus akan bergerak dan membuat keputusan sendiri sepanjang aksi peperangan. Sony Santa Monica telah membangunkan AI (artificial intelligence / kepintaran buatan) yang membolehkan Atreus berperang secara bijak. Korang boleh mengawal Atreus menggunakan butang di DS4 nanti.

Sepanjang perjalanan nanti, keputusan yang korang buat di dalam game akan menentukan pembangunan watak dan kemahiran Kratos dan Atreus.

7. Kamera Gameplay Lebih Dekat Dengan Aksi Permainan

Sepanjang francais God of War, kita melihat dunia, pengembaraan dan peperangan Kratos dari pandangan yang jauh. Di dalam God of War yang terbaru, kamera ditarik mendekati perspektif over-the-shoulder seperti di dalam game Resident Evil 4. Ini merubah penglihatan dan penglibatan gamer terhadap pengembaraan dan peperangan Kratos.

8. Dunia Norse God of War Lebih Besar, Tetapi Bukan Open World

Dunia God of War terbaru akan lebih mirip kepada realiti sebenar yang akan dilalui Kratos dan Atreus. Bagaimanapun, ianya bukanlah game dengan map open-world. Sebaliknya korang akan bermain di dalam map dengan bahagian-bahagian linear yang cukup luas untuk diteroka. Jadi, explore lah puas-puas.

9. God of War Boleh Dihabiskan Dalam 20 – 40 Jam

Pengembaraan Kratos dan Atreus ini boleh dihabiskan dalam 25-35 jam. Cory Barlog berkata, pasukan designer God of War telah menghabiskan dan melengkapkan kesemua 100% misi dan achievement dalam masa 43 jam.

Jika dihitung, God of War pertama boleh dihabiskan dalam 12 jam, God of War II dalam 13jam dan God of War III 17 jam. Lebih dari 20 jam untuk menghabiskan God of War terbaru ini sememangnya lebih panjang dan harapnya lebih memuaskan!

10. God of War Akan Melawat Mitos Lain Di Masa Hadapan

Walaupun Kratos baru sahaja meninggalkan mitos Greek dan beralih ke mitos Norse, Santa Monica telah menyatakan bahawa francais God of War boleh bertukar ke mitos lain dengan mudah! Mereka sudah pun memikirkan konsep pertukaran tersebut sekiranya diperlukan.

Menurut Cory Barlog lagi, antara mitos yang mungkin dilawati Kratos adalah mitos Egypt dan mitos Mayan! Adakah kita boleh menantikan God of War 8 nanti? Sama-sama kita nantikan.


Itu dia 10 benda korang wajib tahu tentang game God of War sebelum pelancarannya 20 April nanti. Semestinya JomGaming akan menghasilkan review Boleh Beli or Boleh Blah!? pada masa terdekat. Siapa yang dah confirm akan beli God of War ni nanti? Kongsi-kongsikan dengan kitorang!

Comments

comments